Satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi menyelaras semua perkara berkaitan sistem bantuan guaman di negara ini selaras pindaan Akta Profesion Undang-Undang (LPA).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhannya akan memperhalusi peranan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan menyalurkan bantuan guaman yang lebih tepat kepada rakyat.

Jelasnya, pindaan LPA juga bukan untuk mengawal Majlis Peguam sebaliknya dibuat selaras dengan Seksyen 42 (1) (I) Akta 166.

"Pengamal undang-undang tidak perlu gusar terhadap pindaan Akta Profesion Undang-Undang (LPA) kerana kerajaan akan mendapatkan maklum balas semua pihak sebelum pindaan itu dibuat.

"Ia memajukan hubungan baik dan pergaulan sosial di kalangan ahli dan antara ahli dengan orang lain yang terlibat dalam pentadbiran undang-undang dan keadilan di negara ini.

"Saya selaku Menteri yang dipertanggungjawab mengawal selia hal ehwal undang-undang sedang dalam proses perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan," katanya semasa sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Yayasan Bantuan Guaman dan Majlis Peguam di Parlimen di sini hari ini.

Jelas Azalina, pindaan yang dicadang kelak adalah demi kebaikan berterusan dalam sistem perundangan negara dan pihak-pihak yang berkepentingan.

"Ia terutama untuk melindungi 17,000 peguam berdaftar di negara ini," ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan juga sedar banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum sebarang pindaan dapat dibuat.

"Kita akan terus mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama Majlis Peguam sebelum ianya dibawa ke Parlimen dalam sidang akan datang pada bulan Oktober," katanya.

Sebelum ini, Azalina menegaskan, dakwaan beberapa pihak tentang cadangan pindaan LPA dibuat untuk kerajaan campur tangan dalam urusan Majlis Peguam adalah tidak tepat.

Katanya, kenyataan tersebut adalah tidak matang dan tidak menghormati sistem negara.