KUALA LUMPUR: MYNIC Berhad (MYNIC), agensi di bawah Kementerian Digital melancarkan kempen 'RevUp and Register' yang menawarkan hadiah bernilai hampir RM200,000 termasuk sebuah kereta Proton X50 bagi memperkasa pertumbuhan salah satu aset digital negara iaitu nama domain .MY.

MYNIC menyasarkan lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya peniaga mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) menggunakan nama domain .MY melalui laman web dan emel untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka.

"Dengan menggunakan nama domain .MY, mereka mampu bergerak secara lebih efisien bersama capaian yang tiada batasan dan dapat mengukuhkan penjenamaan digital mereka," menurut MYNIC menerusi kenyataan di sini pada Selasa.

Penganjuran kempen yang pertama kali dilakukan itu juga bermatlamat memanfaatkan identiti unik nama domain .MY sekaligus mengukuhkan kelebihan daya saing .MY dalam pasaran domestik dan global.

Ia juga sebahagian daripada inisiatif MYNIC dalam meneraju perubahan progresif menerusi inovasi teknologi dan transformasi digital, selari dengan hasrat Kerajaan MADANI meningkatkan tahap penggunaan digital dan menjadikan Malaysia sebuah negara digital.

"MYNIC komited dalam memastikan rakyat tidak ketinggalan dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan digital semasa," menurut kenyataan itu.

Kempen 'RevUp and Register' yang berlangsung sejak 1 Mei hingga 31 Dis 2024 turut disertai 18 Registrar MYNIC.

Selain kereta, kempen 'RevUp and Register' turut menawarkan hadiah seperti bar emas, peralatan elektrik dan elektronik termasuk PlayStation 5 serta telefon pintar bagi setiap pendaftaran baharu nama domain .MY.

Selain itu, beberapa siri khas akan dilancarkan sepanjang kempen berlangsung, termasuk peluang penyertaan berganda pada tempoh istimewa seperti Hari Raya Aidiladha, sambutan Bulan Kebangsaan dan Deepavali sekaligus membuka lebih peluang untuk memenangi hadiah ditawarkan.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.mynic.my atau menerusi platform media sosial MYNIC.

-- BERNAMA