Tujuh empangan di Semenanjung Malaysia mempunyai simpanan air di bawah 50 peratus ketika ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ada di antara empangan tersebut mempunyai simpanan yang hanya boleh bertahan selama sebulan tanpa hujan.

"Oleh itu, kami nasihatkan pengguna domestik untuk menjimatkan air, terutamanya bagi negeri di bahagian utara," kata Wan Junaidi.

Tiga daripada tujuh empangan tersebut terletak di Kedah selain satu di Perlis, Perak, Kelantan dan Johor.


Tambah Wan Junaidi, kementeriannya dalam proses mengkaji dan merangka dasar untuk pengagihan air untuk penggunaan pelbagai sektor sewaktu kemarau.

"Ini untuk memastikan penggunaan air domestik, industri, pertanian atau lain-lain tidak tergendala ketika musim kemarau," jelas Wan Junaidi dalam sidang media selepas melancarkan Projek Pengawalan Hakisan dan Pemuliharaan Muara Sungai Buntal di Santubong di sini hari ini.

Projek tersebut menelan belanja sejumlah RM16.5 juta.

Ia dilaksanakan bagi memastikan pantai di kawasan itu mempunyai struktur kawalan hakisan pantai serta bantu mengurangkan masalah banjir di kawasan ini.