Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi pengalamannya sebagai seorang pelajar kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kedawang Langkawi, pada Selasa.

Sambil menyifatkan dirinya kurang kebolehan walaupun berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti untuk mengambil ijazah kedoktoran, Dr Mahathir turut berkongsi rahsia yang boleh dicontohi pelajar dalam menuntut ilmu.

"Oleh kerana saya sedar saya bukan penuntut terbaik, dan saya bersaing dengan penuntut yang amat baik, saya terpaksa berusaha lebih daripada penuntut lain.

“Rahsia kita yang kurang kebolehan mudah saja, kita kena rajin, kita kena buat lebih daripada orang lain. Kita tahu kalau kita buat sesuatu berulang kali, kita akan jadi cekap. Kalau buat sekali saja, tak jadi, kena buat berkali-kali," katanya dalam lawatan ke sekolah tersebut hari ini.




Walaupun terpaksa membuat sesuatu berulang kali dan agak ketinggalan, Tun Dr Mahathir menyifatkan beliau tetap gigih untuk bersaing serta mengatasi penuntut lain.

"Oleh kerana saya ketinggalan, saya bukan penuntut terbaik, saya perlu kejar penuntut lain. Kalau penuntut lain baca buku sekali atau dua kali, saya baca 10 kali," katanya.

Gambar lawatan beliau yang disertai isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali itu turut dikongsikan di laman media sosial Instagramnya- Foto instagram chedetofficial

Sementara itu, lawatan beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali itu turut dikongsikan di laman sosial Instagramnya @chedetofficial.

“Generasi hari ini adalah generasi yang akan mencorak masa hadapan, di sekolah, anak-anak kita dibekalkan dengan ilmu, ilmu menjadikan hidup kita lebih sempurna,” katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga pendidik.

Rata-rata netizen memberikan reaksi positif kepada 'posting' Perdana Menteri itu.