Konsep 'Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH)' bagi industri hospitaliti perlu dilaksanakan untuk mengelakkan kemalangan maut yang kerap berlaku dan melibatkan pelancong serta orang ramai terutama semasa cuti sekolah.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia seharusnya melibatkan hotel, restoran dan kedai makanan, pengusaha pelancongan dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.

"OSH memainkan peranan penting bagi mengelak kemalangan, kecederaan dan maut yang melibatkan pekerja dan pelancong dalam industri hospitaliti dan pelancongan. Jika OSH tidak diamalkan, ia boleh mengakibatkan kemalangan yang menyebabkan kecederaan atau maut.

"Komitmen terhadap keselamatan dan kesihatan adalah satu amalan perniagaan yang baik bagi pengusaha pelancongan dan mereka yang terlibat dalam industri hospitaliti untuk mengelak kemalangan yang melibatkan tetamu serta pekerja mereka.

"Walaupun kemalangan boleh dan memang berlaku, terdapat pelbagai langkah yang boleh kita ambil untuk mengurangkannya. Kejadian kemalangan boleh dikurangkan jika kita menjadikan amalan kerja yang berhemah dan berhati-hati sebagai sebahagian daripada budaya kita.

Ketelitian dalam isu keselamatan perlu menjadi nilai teras bagi semua warga kerja. Keselamatan dan kesihatan mesti dipupuk menjadi satu budaya dan tidak boleh dianggap hanya sebagai keutamaan," katanya dalam satu kenyataan di sini har ini.

Jelas Lam Thye, industri hospitaliti dan pelancongan juga melibatkan sebilangan besar pekerja termasuk pembekal, vendor dan kontraktor yang terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti penyediaan makanan, penyenggaraan dalaman, pembersihan, perkhidmatan makanan dan minuman serta pengurusan peralatan pejabat.

"Bahaya seperti pengendalian manual; terjatuh; pengendalian jentera dan peralatan yang tidak betul; bahan dan barang-barang berbahaya; melecur dan luka adalah ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan pekerja.

"Pengendalian manual melibatkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan penyenggaraan dalaman seperti mengemas tempat tidur, memvakum, membawa dulang, menyusun barang-barang di rak, mengendali troli dobi, dan memuatkan atau menunggah pakaian dari mesin basuh.

"Banyak resort, hotel dan chalet menyediakan pelbagai aktiviti kepada tetamu seperti mendaki gunung, menyelam skuba, snorkeling, berakit, flying fox, memanjat tembok dinding, bungee jumping dan banyak lagi. Aktiviti-aktiviti ini melibatkan risiko yang tinggit serta teknikal. Prosedur dan pasukan tindak balas kecemasan serta pasukan pertolongan cemas adalah diperlukan untuk waktu kecemasan," katanya.

Dalam pada itu tegasnya, pemandu pelancong juga boleh terdedah kepada banyak risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk bahaya fizikal, biologi atau psikososial yang boleh menyebabkan ancaman serius kepada kesihatan mereka.

"Sebagai contoh, pemandu pelancong yang bekerja lebih masa dan waktu kerja panjang telah terbukti boleh mendapat gangguan dan penyakit tertentu.

"Sementara itu, beban kerja fizikal yang berat atau keadaan kerja yang tidak ergonomik seperti duduk di atas kenderaan berjam-jam boleh membawa kepada kecederaan dan gangguan muskuloskeletal. Oleh itu latihan ergonomik adalah bahagian yang penting dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan," jelasnya.