Tutup

Utusan 'baharu' perlu neutral, bebas campur tangan kerajaan, parti politik - Penganalisis

Utusan 'baharu' perlu neutral, bebas campur tangan kerajaan, parti politik - Penganalisis
Pada Rabu, Utusan akhirnya memutuskan untuk menghentikan operasi selepas edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo semakin menurun sejak Mei 2018. - ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Sekiranya akhbar Bahasa Melayu tertua negara, Utusan Malaysia (Utusan) kembali dalam bentuk baharu, ia harus bersifat neutral serta bebas daripada campur tangan kerajaan dan parti politik.

Penganalisis Politik & Media Sosial UiTM Shah Alam, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy menegaskan pentingnya Utusan bebas daripada mana-mana parti politik sekiranya inginkan kebebasan media.
Beliau juga menyarankan penubuhan Majlis Media Malaysia dengan segera kerana ia akan menjadi penimbang tara yang membantu menyelaraskan kebebasan media di negara ini.

"Pada masa yang sama penubuhan majlis sebegini dapat membantu nasib-nasib wartawan yang kini diberhentikan. Ia juga dapat membantu membina keyakinan terhadap media dan juga menyumbang kepada kredibiliti organisasi berita khususnya, berita perdana.
BACA: Penubuhan Majlis Media Malaysia martabatkan media

"Walaupun kami sudah mempunyai persatuan-persatuan media seperti Institut Akhbar Malaysia, Pesatuan Penerbit Akhbar Malaysia dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ), kami memerlukan majlis media yang mampu membela nasib para wartawan di negara ini.

"Ini satu langkah yang penting dan tepat pada waktu ini kerana ia dapat melindungi dan menaiktaraf profesion kewartawanan media perdana," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

BACA: Media tidak dimiliki kerajaan - Gobind

Katanya lagi, media di negara ini harus mengambil iktibar daripada insiden pemberhentian operasi Utusan dan belajar daripada Indeks Kebebasan Media Dunia 2019 yang diumumkan pada Mei lalu.

"Malaysia melonjak 22 tangga ke atas iaitu tempat ke-123 berbanding sebelum ini. Ini sudah menunjukkan satu petanda baik bahawa media Malaysia pada hari ini sudah mempunyai sedikit kebebasan dari segi pemberitaan," tambahnya. 

Pada Rabu, Utusan akhirnya memutuskan untuk menghentikan operasi selepas edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo semakin menurun sejak Mei 2018.



Bagaimanapun, memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata Utusan Malaysia akan terus "hidup" kerana firma yang dikaitkan dengan jutawan Syed Mokhtar Albukhary itu merancang untuk melancarkan sebuah penerbitan baru dengan menggunakan lesen percetakannya.





Ia didedahkan bahawa firma Aurora Mulia Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Syed Mokhtar, telah memperolehi kepentingan pegangan 70 peratus dalam syarikat induk yang memegang lesen percetakan Utusan, Dilof Sdn Bhd.