Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) semalam mengakui berlaku kecurian wang bantuan ehsan banjir sebanyak RM40,000 dalam simpanan yayasan itu tahun lepas.

Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Ismail Saffian berkata wang sebanyak RM500 yang diletakkan dalam setiap satu dari 80 sampul itu disedari hilang pada 18 Sept dan laporan polis dibuat tiga hari kemudian.

"Sehingga kini kes berkenaan masih lagi dalam siasatan polis," katanya dalam satu kenyataan.

Ismail berkata wang bantuan daripada kerajaan negeri Perak itu diagihkan kepada seramai 9,273 penerima.

"Senarai penerima dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan bantuan tersebut telah diagihkan sepenuhnya," katanya.

Ismail mengulas kenyataan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak berhubung kehilangan wang tersebut pada sidang media pada Selasa.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri Mohd Fitri Asmuni berkata YBUDR perlu memperjelaskan mengenai kehilangan wang yang diuruskan oleh yayasan itu.

Beliau mendakwa lanjutan daripada kehilangan wang tersebut pada 7 Nov 2015, tiga pegawai YBUDR dan seorang pengawal keselamatan di yayasan itu direman.

"Mengikut kefahaman saya suspek yang direman telah dilepaskan dan saya percaya sehingga hari ini (Selasa) tiada pendakwaan dilakukan terhadap mereka.

"Sekiranya ada, siapa orang yang didakwa itu dan kenapa dua laporan polis dibuat dan satu daripadanya dibuat oleh pegawai tertinggi YBU.

"Mengikut laporan yang kami terima, benarkah sebahagian wang yang hilang itu sebenarnya disimpan dalam bilik pegawai tertinggi YBU?.

"Jika benar adakah siasatan terperinci telah dijalankan terhadap pegawai tertinggi itu," katanya.