Belanda
Foto Jenny Loh (kiri) dan suaminya Fan Shun-po yang diambil daripada satu program memasak di YouTube

Pemilik dua buah restoran Cina terkenal di Rotterdam yang berasal dari Malaysia adalah antara mereka yang terbunuh dalam nahas pesawat penerbangan MH17 yang dipercayai ditembak jatuh dekat sempadan Ukraine-Rusia.

Jenny Loh, 54, yang disebut kini warganegara Belanda, menaiki pesawat itu bersama ibu dan suaminya, tukang masak Fan Shun-po, lapor laman web akhbar The Algemeen Dagblad (AD) di Belanda.

"Ibu bapa saya sudah tiada," kata anak tunggal pasangan itu, Kevin, seperti dipetik oleh akhbar berkenaan.

Dim Daily
Restoran Dim Daily milik Jenny Loh

Menurut akhbar itu juga sanak saudara serta kenalan keluarga itu berhimpun di sebuah restoran milik pasangan itu untuk menunggu pengesahan tragedi yang berlaku pada Khamis.

"Saya perlu nampak tabah, demi keluarga," kata Kevin.

"Kalau saya pun runtuh, bagaimana dengan mereka?"

Sebuah media di Belanda memaparkan melalui salurannya di YouTube suasana di perkarangan sebuah restoran itu pada Jumaat yang penuh dengan bunga yang diletakkan oleh pelanggan restoran itu.


Jenny dan suami dilaporkan hendak pulang ke Malaysia bersama ibunya yang datang menziarahi mereka di Rotterdam.

Akhbar The South China Morning Post (SCMP) melaporkan suami Jenny berasal dari Hong Kong. Astro AWANI bagaimanapun difahamkan Shun-po dikenal pasti sebagai warganegara Malaysia. Beliau berumur dalam lingkungan 60-an.

Menurut SCMP, pasangan itu dalam perjalanan rutin pulang ke kampung. Setiap tahun biasanya mereka menaiki penerbangan terus dari Rotterdam ke Hong Kong.

"Tetapi kali ini sebab mereka perlu membawa ibu Jenny ke Pulau Pinang selepas dia menziarahi mereka, pasangan itu memilih terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan menaiki pesawat malang MH17," lapor SCMP.

Kedua-dua restoran itu tetap dibuka pada Khamis malam dan pada mulanya menerima pelanggan seperti biasa. Tetapi selepas berita duka itu disahkan, restoran itu kemudiannya hanya dibuka kepada ahli keluarga dan kenalan rapat.

Dalam pada itu, seorang rakan pasangan itu yang sama-sama menyertai sebuah persatuan penganut Buddha berkata pasangan itu dihormati sebagai dermawan.

"Setiap kali ada bencana, mereka tidak pernah lokek menganjur makan malam amal untuk mengutip dana," kata Christy Liu kepada SCMP.

Akhbar itu melaporkan semasa bencana tsunami di Fukushima, Jepun, majlis makan malam anjuran pasangan itu berjaya mengumpulkan dana sebanyak €27,500 (hampir RM120,000).

Belanda
Lagi foto Jenny (tengah) dan suami daripada makan malam amal untuk Fukushima

Pasangan itu memiliki restoran makanan Cina yang terkenal di Rotterdam, Asian Glories dan Dim Daily. Asian Glories malah disifatkan sebagai antara restoran makanan Cina yang terbaik di Belanda. Michelin Guide pada 2010 menyenaraikan Asian Glories dalam senarai Bib Gourmand untuk "makanan yang enak bagi harga yang berpatutan."

Menurut media di Belanda, Kevin berikrar akan terus membuka dua restoran yang ditinggalkan oleh ibu bapanya. "Saya kena berdiri sendiri," katanya.