Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) kini bekerjasama rapat dengan syarikat media sosial terbesar di China dikenali "Weibo" untuk membantu mempromosikan pelancongan Malaysia di China.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab berkata usaha ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk menarik dua juta pelancong China melawat negara ini.

"Bagi tahun 2015, seramai 25.7 juta pelancong melawat Malaysia dengan 1.67 juta adalah dari China. Ia menunjukkan 4 peratus peningkatan 4 peratus berbanding 2014 dengan 1.61 juta pelancong dari China.

"Kami menyokong sebarang usaha walaupun kami telahpun bekerjasama dengan Weibo untuk mempromosikan Malaysia. Laman blog ini membolehkan komunikasi secara meluas dengan kebanyakan masyarakat di China," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar MITA mengenai "Bagaimana untuk Mempromosikan Malaysia secara Efektif di China melalui Weibo", di sini pada Selasa.

Weibo ialah Twitter dan Facebook versi Cina dan ia adalah satu daripada laman web paling popular di China dan dilayari oleh lebih 30 peratus pengguna Internet, dengan penembusan pasaran yang sama ke Amerika Syarikat, Twitter.

Sementara itu, Timbalan Presiden MITA, Uzaidi Udanis berkata MITA meramalkan perubahan tabiat perjalanan dalam kalangan pelancong China dengan lebih 200 juta pelancong dari tanah besar China akan melancong ke luar negara menjelang 2020.

"Weibo mempunyai lebih 600 juta pengguna berdaftar dan 271 juta pengguna aktif. Melalui platform itu, lebih 45 juta pengguna Weibo merupakan pelancong yang kerap melakukan lawatan dan Malaysia ialah satu daripada destinasi pelancongan yang disebut dalam Weibo.

"Kami berharap inisiatif ini dapat membantu untuk meningkatkan ketibaan pelancong dari China selaras dengan matlamat kerajaan untuk menarik lebih lapan juta pelancong China dalam tempoh lima tahun dengan menjana pendapatan RM22.1 bilion kepada negara," kata beliau.