Kerajaan diminta mewujudkan semula sistem Sekolah Wawasan di mana anak-anak dari keturunan Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya dapat belajar dan berinteraksi di bawah satu bumbung serta semangat keluarga Malaysia yang harmoni dan saling hormat-menghormati.

Pengerusi Yayasan Penggerak Wawasan (YPW), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, penekanan seharusnya lebih diberikan kepada mata pelajaran vokasional dan teknikal yang bukan saja meningkatkan prospek kerjaya.

Bahkan, kata beliau, mata pelajaran berkenaan juga sebagai persediaan melengkapkan infrastruktur pembangunan insan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan bagi negara dari segi jangka sederhana dan panjang.

"Mata pelajaran agama Islam dan moral akan menekankan aspek pembangunan insan secara total sehingga melahirkan warga yang berdisiplin, berintergriti, komited serta berakhlak tinggi.

"Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah wajib. Pelajar juga mesti memilih salah satu bahasa lain untuk dipelajari sama ada Mandarin, Tamil, Arab atau Jepun.

"Mata pelajaran berkaitan patriotisme atau kasih, cinta dan sayangkan negara seperti Perlembagaan Negara, Rukun Negara, sejarah kemerdekaan negara, perhubungan ras dan kepelbagaian budaya akan dipelajari serta dihayati setiap pelajar di dalam sistem pendidikan wawasan di seluruh negara," katanya dalam cacatan terbaharu di laman Facebooknya, pada Jumaat.

BACA: Banyak perkara dalam sistem pendidikan perlu dikaji semula - Tun M

BACA:
Tun Mahathir pangku jawatan Menteri Pendidikan

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengakui, terdapat banyak perkara yang perlu dikaji semula dalam Kementerian Pendidikan.

Dr Mahathir, yang mula memangku portfolio itu sejak 3 Januari lepas berkata, beliau akan turut mengambil kira kritikan daripada orang ramai berhubung dasar serta polisi mengenai sistem pendidikan di negara ini.

Menurut Dr Mahathir, beliau kini sedang dalam proses mendengar taklimat daripada pegawai Kementerian Pendidikan dan sudah mempunyai beberapa ‘idea’ tentang apa yang harus dilakukan

Dalam perkembangan berasingan, Rahim menjelaskan, sebarang tindakan Jawatankuasa UMNO untuk menyingkirkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein merupakan langkah tragik yang boleh memecahkan parti itu yang sudah retak kini.

"Ramai ahli UMNO yang waras dan Islamik menunggu detik dan saat untuk lari dari UMNO yang semakin tenat dengan pendedahan yang sedang berlaku dalam perbicaraan mahkamah berkaitan aktiviti pemimpin mereka," kata Rahim lagi.