"Walaupun nakal, kami cukup hormat dengan guru," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador semasa mengimbas kenakalan beliau semasa bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut di sini, selama lima tahun bermula tahun 1966.

Abdul Hamid yang mula bersekolah di situ pada darjah dua, selepas ayahnya yang merupakan konstabel ditugaskan di Balai Polis Jerantut, mengakui beliau agak nakal, namun semuanya hanya melibatkan kenakalan biasa seperti kanak-kanak sebayanya.

Katanya beliau dan rakan juga selalu memanjat pokok mangga, menangkap ikan di sungai, mencari ikan laga di parit kecil, suka menangkap labah-labah selain sering bermain bola sepak, 'polis-sentri' dan galah panjang manakala hobinya mengumpul setem.

"Kami amat takut dan hormat pada ibu bapa. Kami tidak pernah melepak sampai tengah malam ...malah waktu itu juga (keluarga) saya susah sehingga tidak mampu membeli basikal. Kami ditanam dengan sikap takut kepada polis, sehinggakan saya sendiri sebagai anak polis, cukup takut dengan polis," katanya.

Abdul Hamid menceritakan kisah kehidupannya itu semasa berucap pada Majlis Graduasi SK Jerantut sini pada Khamis, yang turut dihadiri kawan baiknya Tajurudin Mat Noh dan guru kelas mereka semasa darjah enam K.Murugiah.

Katanya hubungan sesama rakan sekolah juga amat rapat seperti adik-beradik menyebabkan walaupun tinggal di berek polis, beliau sering berkunjung ke rumah rakan-rakan di beberapa perkampungan berhampiran pada waktu petang.

BACA: Saya tidak gentar disiasat IPCMC - Ketua Polis Negara

Menurut Abdul Hamid, menjadi kebiasaan untuk mereka sama-sama membuka bekal di padang sekolah pada waktu rehat, selain saling berkunjung pada setiap musim perayaan, sehingga menjadikan hubungan itu terus terjalin sehingga hari ini.

Sementara itu, Tajurudin yang berasal dari Kampung Baru di sini, berkata beliau mulai akrab dengan Abdul Hamid sejak darjah dua sehingga mereka sama-sama tinggal di asrama selepas mendapat peluang menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Sulaiman di Bentong, dekat sini pada tahun 1971.

Tajurudin, 61, yang mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang pembinaan di Bandar Baru Bangi, Selangor menyifatkan Abdul Hamid sebagai rakan yang sangat baik dan oleh kerana ketika itu kedua-duanya susah, mereka sering berkongsi apa sahaja makanan yang ada.

"Bukan hanya makan mi segera, jika makan karipap pun kami akan bahagi dua. Tapi paling saya ingat, ada satu malam, Abdul Hamid mengejutkan saya daripada tidur sekitar 3 pagi dan beritahu beliau lapar.

"Jadi beliau minta saya untuk teman beliau ke dapur dewan makan... di sana, beliau masak nasi goreng sendiri dan saya juga tumpang sekaki makan," katanya yang pernah dilantik sebagai ketua kelas dengan Abdul Hamid sebagai penolong semasa di darjah enam.

BACA: Abdul Hamid dilantik Ketua Polis Negara berkuat kuasa 4 Mei ini - Muhyiddin

Murugiah, 71, pula berkata Abdul Hamid antara murid terawal beliau memandangkan SK Jerantut adalah sekolah pertama tempat beliau bertugas dengan mengajar pelbagai subjek seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

Beliau yang kini menetap di Alor Setar, Kedah selepas bersara pada 2002 menyifatkan Abdul Hamid yang juga ketua Pasukan Rumah Merah sekolah sebagai seorang yang sangat rajin, sopan, berbudi bahasa dan bertanggungjawab.

"Walaupun sudah memasuki sekolah menengah, beliau tetap rajin bertanya khabar guru di sini. Bukan hanya beliau, malah rakan-rakan sekelasnya juga begitu menjadikan hubungan kami terjalin sehingga sekarang," katanya.

BACA: Saya Ketua Polis Negara untuk negara ini, bukan untuk parti politik

-- BERNAMA