Sejarah membuktikan kerusi Parlimen Cameron Highlands seharusnya dipulangkan semula kepada Parti Progresif Penduduk (MyPPP), kata Presidennya, Tan Sri M Kayveas.

Katanya, beliau juga sudah menanti selama 17 tahun untuk berkhidmat di kawasan itu yang terletak di negeri kelahirannya, Pahang.

"Pada tahun 2000, Presiden UMNO ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah berjanji untuk memberikan kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada saya.

"Tun M pada masa itu meminta saya bekerja di Cameron Highlands pada tahun 2000, jadi saya pun berkhidmat di kawasan itu sejak itu.

"Saya kini perlu untuk kembali ke Cameron Highlands. Ia kerusi milik MyPPP, 17 tahun saya tunggu dan ia telah diambil selain dimanipulasi MIC," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: Kerusi Cameron Highlands: MyPPP sedia bincang

Kayveas, yang juga penasihat Kementerian Pengangkutan berkata, beliau telah meminta izin daripada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak sebelum berkhidmat kepada masyarakat di Cameron Highlands kira-kira dua tahun lepas untuk memastikan kemenangan BN.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam bertegas bahawa parti itu akan bertanding bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

BACA: MIC nasihat Kayveas bertanding di Pagoh

Kayveas sebelum ini dilaporkan bersedia menukar dua kerusi tradisi mereka dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain pada PRU14 atas semangat kerjasama dan perpaduan.

Beliau berkata dua kerusi tersebut ialah Parlimen Kepong di Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar di Teluk Intan, Perak yang akan diserahkan masing-masing kepada Gerakan dan MCA.

Kayveas menjelaskan, beliau sudah bersedia untuk bertanding di Cameron Highlands pada PRU11 namun diletakkan di Taiping.

Bagaimanapun, beliau memenangi kerusi Taiping dengan 20,129 undi manakala pencabarnya dari DAP memperoleh 17,957 undi dan PKR (4,371).

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,172 undi.

MIC yang meletakkan Devamany Krishnasamy di Cameron Highlands turut memenangi kerusi berkenaan.

Pada PRU12 empat tahun kemudian, Kayveas sekali lagi diarahkan mempertahankan kerusinya manakala MIC kekal diberi kepercayaan di Cameron Highlands.

Bagaimanapun, Kayveas kalah kepada calon DAP, Nga Kor Ming, dengan majoriti 11,298 undi. Kayveas memperoleh 16,800 berbanding Nga 28,098 undi.

MyPPP sebelum ini dilaporkan mengintai satu kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN pada pilihan raya umum akan datang.