Rakyat dinasihatkan tidak cepat membuat sebarang andaian berhubung kes seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa ditahan polis kerana kesalahan dadah, Isnin lalu.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin meminta supaya semua pihak bertenang dan menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Saya rasa tidak adil kepada mana-mana pihak sekiranya kita terlalu cepat buat andaian ataupun sebarang kenyataan, pasal, ini adalah perkara serius.

"Kita serah kepada polis untuk buat siasatan yang telus terhadap perkara ini dan jangan kita (buat) apa-apa andaian yang boleh meruntuhkan ataupun memburukkan kredibiliti mana-mana (pihak)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Kampung Biau, di sini, malam tadi.

BACA: Dakwaan ADUN ditahan: Tiada siapa boleh terlepas dari undang-undang - Tun Mahathir

BACA: Muhyiddin serah kes ADUN ditahan kepada polis

Pada Isnin, seluruh negara dikejutkan dengan insiden seorang ADUN dari Selangor yang dilaporkan ditahan bersama 16 individu yang lain di sebuah kondominium di Jalan Puchong.

Penahanan itu berpunca daripada laporan terhadap bunyi bising daripada sebuah parti persendirian di kondominium berkenaan.

BACA: Dakwaan ADUN ditahan: KPN sahkan 16 daripada 17 positif dadah, identiti tidak didedah

BACA: ADUN Dengkil ditahan: Adhif nafi, Bersatu Selangor sahkan ADUN Selangor ditahan

KHAIRY: Kita serah kepada polis untuk buat siasatan yang telus, jangan kita buat andaian yang boleh meruntuhkan ataupun memburukkan kredibiliti mana-mana pihak. - Astro AWANI

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan PRK, Khairy menganggap rakyat di Kimanis amat senang dengan pendekatan yang dibawa calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.

"Saya melihat rakyat sangat senang dengan pendekatan Mohamad, calon kita, calon yang muda, yang ada pengalaman, yang ada kelayakan.

"Saya lihat juga, rakyat sangat memahami isu-isu yang dibangkit melalui ceramah, sama ada isu tempatan mahupun isu nasional," katanya.

Pengundian PRK Kimanis akan berlangsung Sabtu ini, menyaksikan pertandingan antara Mohamad dan calon Pakatan Harapan dari Parti Warisan Sabah, Datuk Karim Bujang.

Khairy menganggap rakyat di Kimanis amat senang dengan pendekatan yang dibawa calon BN. - Astro AWANI