Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan UMNO tidak akan mengkhianati kerjasama politik di antara UMNO dan Pas.

Beliau juga bertegas akan memastikan UMNO setia dengan piagam kerjasama dengan Pas yang akan ditandatangani kedua-dua pihak kelak.

Menurut Ahmad Zahid, beliau memahami kebimbangan, khususnya ahli akar umbi Pas, terhadap kemungkinan parti itu dikhianati sekali lagi sebagaimana yang terjadi suatu ketika dahulu sewaktu Pas pernah bersama UMNO.

"Insya-Allah di Bukit Bendera ni, saya nyatakan bahawa jika piagam tahalul siyasi, kerjasama politik di antara UMNO-Pas ditandatangani sebagai terjemahan kerjasama, saya akan pastikan bahawa pada hari ini dan seterusnya Pas jangan risau kita takkan pernah merungkaikan kerjasama ini sebagaimana yang berlaku.

"Insya-Allah, selagi saya bersama UMNO, Pas tidak akan tertipu," kata Ahmad Zahid ketika berucap pada mesyuarat dan persidangan perwakilan empat peringkat UMNO Bahagian Bukit Bendera di Batu Feringghi, Pulau Pinang pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Seri Ahmad Ismail; dan Yang Dipertua Pas Bukit Bendera, Halim Salleh.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menyatakan sokongan kepada UMNO Pulau Pinang untuk bertanding sekurang-kurangnya 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kerjasama Pas pada pilihan raya umum akan datang dalam usaha mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri itu.

Menurut beliau, UMNO sebelum ini atas dasar kompromi dan persefahaman di dalam BN telah memberi laluan kepada parti komponen untuk menerajui pentadbiran negeri, namun parti itu bertindak meninggalkan BN apabila tidak lagi berkuasa.