Sekiranya penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional (MN) mampu memperkukuhkan kuasa politik Islam dan Bumiputera, UMNO mengalu-alukan penyertaan tersebut.

Pandangan itu disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegaskan banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum menerima Bersatu menyertai gabungan itu.

Jelasnya, apa saja keputusan daripada MN selepas ini pastinya akan melalui proses perbincangan antara UMNO dan Pas terlebih dahulu.

BACA: Muafakat Nasional hulur pelawaan rasmi kepada Bersatu - Annuar

BACA: Bersatu zahir hasrat sertai Muafakat Nasional - Ahmad Zahid

“Prinsip kita apa juga yang boleh memperkukuhkan kuasa politik Islam, Bumiputera yang merupakan bangsa teras dan agama tunjang bagi negara ini, sudah tentu kita alu-alukan.

“Cuma banyak perkara kita pertimbangkan dengan kehadiran Bersatu ini. Ini yang saya rasa perlu diperhalusi, bukan sahaja di peringkat pimpinan UMNO dan Pas tapi pimpinan parti masing-masing,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Tambah beliau, prinsip gabungan itu sejak daripada dulu tidak berubah, iaitu untuk memastikan kuasa politik Melayu dan Islam sentiasa diperkukuhkan.

BACA: Keputusan UMNO tidak sertai PN tidak jejaskan pentadbiran negeri Perak - Saarani

Dalam pada itu, Asyraf memaklumkan setakat ini masih belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung hasrat Bersatu itu namun Asyraf memaklumkan gabungan itu akan bermesyuarat pada minggu hadapan.
“Apa saja yang boleh memperkukuhaan MN, boleh dipertimbangkan termasuklah hasrat PPBM untuk sertai Muafakat Nasional cuma kita belum lagi lah buat apa-apa keputusan kerana dalam minggu depan baru kita akan bermsyuarat,” ujarnya.


Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan hasrat untuk menyertai MN, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu sidang media pada Khamis, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, hasrat Bersatu itu akan dibincangkan bersama dengan PAS untuk diperhalusi.


Selain itu, beliau berkata, UMNO juga telah membuat keputusan tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) sebaliknya memberi komitmen memperkasakan Muafakat Nasional bersama-sama dengan Pas dan komponen Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Pas pula akan terus memperkasakan jalinan kerjasama antara parti, termasuk dengan UMNO, menerusi Muafakat Nasional (MN).

BACA: Pas tiada masalah jalin kerjasama dengan PN, Bersatu - Hadi

Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama dengan parti dalam PN tetap akan diteruskan.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, tiada masalah untuk meneruskan kerjasama dengan parti dalam PN.