Pakatan Harapan kini mendakwa sudah mempunyai 114 undi menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Menerusi posting Facebook, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil memaklumkan, Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian menandatangi akuan berkanun (SD) untuk menyokong Dr Mahathir.

"Assalamualaikum, saya kini berada di Yayasan Al-Bukhary bersama-sama saya rakan-rakan termasuk saudara Baru Bian menandatangani SD yang disaksikan Tun Mahathir.

"Sehingga sekarang kami mempunyai 114 undi yang terdiri daripada 114 ahli parlimen," ujarnya.

BACA: Pakatan Harapan yakin dapat buktikan sokongan kepada Agong - Salahuddin

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Salehuddin Ayub yang ditemui dalam majlis yang sama pula berkata, ketika ini 111 daripadanya telahpun menandatangani akuan bersumpah.

"111 yang telah memberikan aku janji daripada 114. Tiga belum. Kita ada 114 secara konsisten. Semua Ahli Parlimen akan berada di sini (Yayasan Al Bukhari) pukul 9 pagi esok (Ahad).

"Kita akan adakan secara aman, kita tak nak berlaku rusuhan. Hanya beritahu bahawa angka yang diberikan itu tak betul," katanya.

Pertemuan pada Ahad itu dipercayai membincangkan langkah seterusnya yang perlu diambil selepas pengumuman oleh Yang Dipertuan Agong me lantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke lapan pada petang Sabtu.

Selain Salehuddin, pimpinan Pakatan Harapan yang lain enggan memberikan sebarang komen mengenai hasil mesyuarat Sabtu malam.

Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Turut kelihatan menerusi video tersebut adalah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman dan Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong dan beberapa ahli parlimen lain.

Sebelum ini, Baru Bian dilaporkan meninggalkan PKR pada 24 Februari lalu.

BACA: Kerajaan Pakatan Harapan telah runtuh - Willie Mongin

Ia selepas Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin, Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dari Sarawak mengambil tindakan sama tempoh hari.