Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya bertenang berkaitan isu jawatan lantikan dalam parti.

"Keep cool, keep cool (bertenang, bertenang),'' katanya ketika diminta mengulas kritikan terbuka Mohamed Azmin terhadap pelantikan jawatan parti yang diumumkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan bekas presiden PKR itu menasihatkan Mohamed Azmin agar membiarkan Anwar menerajui parti kerana beliau dipilih oleh ahli sebagai presiden.

"Ada banyak cara untuk memberi pandangan terhadap presiden baharu. Biarkan beliau (Anwar) menerajui parti kerana kita memilih beliau menjadi presiden.

"Dan seperti beliau kata, itu adalah hak presiden, dan juga kesatuan dalam parti," katanya kepada pemberita pada program Street Dakwah sempena sambutan Malam Tahun Baru 2019 di sekitar KLCC malam tadi.

BACA: Itu hak Presiden, Wan Azizah pertahan pelantikan Rafizi

BACA: Lantik Rafizi, isyarat Anwar perlu pemimpin yang boleh bekerjasama - Penganalisis

BACA: Kenapa lantik individu yang pecahkan parti? Soal Azmin kepada Anwar

Pada 28 Disember lalu, Anwar dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Mohd Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden PKR bersama Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju untuk mengisi tiga kerusi lantikan dalam Majlis Pimpinan Pusat parti itu.

Selain Rafizi, Anwar turut mengumumkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Fahmi Fadzil kekal memegang jawatan lama masing-masing iaitu sebagai Setiausaha Agung dan Pengarah Komunikasi.

Pada pemilihan parti November lalu, Mohamed Azmin berjaya mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden selepas menewaskan Mohd Rafizi selaku pencabarnya dengan majoriti 3,956 undi.