Walaupun kini berstatuskan pembangkang, UMNO akan terus mempertahankan kedudukan Islam dan Majlis Raja-Raja Melayu, termasuk Yang di-Pertuan Agong, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Calon Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, biarpun terdapat suara-suara semakin lantang memperlekehkan institusi itu, termasuk saranan agar Malaysia ditukar menjadi sebuah negara republik, UMNO tidak akan sekali-sekali membiarkan perkara itu berlaku.

“Agama kita sedang diancam, benar Agong itu Ketua Agama di sini, tetapi bagaimana Tuanku hendak mempertahankan jika ada suara-suara sumbang yang pertikaikan kedaulatan Raja-Raja Melayu?

“Siapa yang pertahankan semua ini selain UMNO? UMNO sahaja boleh pertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datuk 2018, di sini hari ini.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, banyak hak-hak Melayu dan bumiputera kini tergugat di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya lagi, ini semua terjadi ekoran perpecahan ketara akibat perbezaan ideologi politik dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera, biarpun jumlah mereka melebihi 60 peratus di negara ini.

“Kerana kita terlalu raikan perbezaan pendapat, kerana kita mahu bersifat liberal, kita mahu berlapang dada, akhirnya kampung tergadai. Ia mengakibat perpecahan sesama kita,” katanya.

UMNO kini, ujar Ahmad Zahid, harus mula membiasakan diri sebagai pembangkang yang berwibawa dan perkhidmatan terhadap rakyat harus diteruskan, walaupun tanpa peruntukan yang banyak seperti dulu.

Ulasnya lagi, rakyat juga harus mula membiasakan diri dengan DNA baharu UMNO sebagai pembangkang dan jangan menganggap wakil rakyat UMNO atau Barisan Nasional mampu memberikan perkhidmatan sebagaimana ia dalam kerajaan seperti dahulu.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, seandainya beliau mendapat mandat untuk menjadi Presiden UMNO bagi penggal 2018/21, beliau akan melakukan pendekatan dengan pemimpin Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda Melayu dan Islam terus terjaga, tanpa sekali-sekali mengabaikan kepentingan kaum lain.

“Bukan maksud saya merangkak jumpa pemimpin, saya tidak akan jual UMNO, saya tidak akan bersetuju dengan pembubaran UMNO. UMNO itu mesti kekal, dan kita tidak setuju kalau ada usaha batalkan UMNO,” katanya lagi.

Untuk menjayakan agenda itu, jelas Ahmad Zahid, beliau memerlukan satu pasukan pemimpin yang terkuat, terdiri daripada seorang timbalan presiden yang wala’ serta kuat bekerja dan bijaksana, dan juga tiga naib presiden yang serius dalam tugasan serta tiada agenda peribadi.

Hari ini, sekitar 165,000 perwakilan dari 191 bahagian UMNO akan memulakan pemilihan di bahagian masing-masing, termasuk memilih pucuk pimpinan di peringkat Majlis Tertinggi UMNO.