Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa agar 47 ahli parlimen Sabah dan Sarawak keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan "Gagasan Baru Sabah dan Sarawak".

Cadangan itu dilontarkan dalam ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional PKR ke-11 di Shah Alam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu percaya gagasan berkenaan akan menjadikan suara dari Sabah dan Sarawak lebih kuat di Dewan Rakyat demi memperjuangkan kepentingan negeri dan rakyat di dua negeri itu.

Ujar Wan Azizah, dengan penubuhan gagasan baharu itu, mereka boleh berunding dengan BN dan Pakatan Harapan untuk tawaran politik serta ekonomi terbaik untuk rakyat kedua-dua negeri itu.

"Mereka mempunyai kerusi yang boleh membuat kelainan kepada apa sahaja keputusan sama ada di pihak BN atau sesiapa sahaja.

"Jadi ini satu syor kalau blok Sabah dan Sarawak boleh membuat kelainan apabila mereka kata 'okey, kami kumpulan bebas' dan menuntut agar mereka didengari; ini menjadikan mereka satu suara lebih kukuh," katanya pada sidang media Kongres Nasional PKR di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau turut mengulangi gesaan kepada semua anggota parti supaya bersedia untuk berdepan dalam pilihan raya negeri Sarawak tahun depan.