Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bukanlah satu nama asing buat penduduk di Negeri Sembilan khususnya Port Dickson, apatah lagi beliau pernah menjadi menteri besar negeri ini selama 22 tahun, sejak 1982.

Mengabdikan diri sejak sekian lama 'bermukim' di dalam Parlimen Port Dickson menerusi platform UMNO sebagai wakil rakyat, bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu kali ini memilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson atas tiket bebas.

Ini bersandarkan sejarah perkhidmatan yang pernah diberikan sebelum ini selain menyifatkan dirinya sebagai 'anak jati Port Dickson'.

Lahir di Bagan Pinang di sini, bapa kepada empat anak iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan, memulakan karier politiknya bersama UMNO pada sekitar tahun 1972 dan pernah menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada 1978 sehingga 1982, ADUN Bagan Pinang (1986-2004) dan Anggota Parlimen Jempol (2004-2008).

Mohd Isa, yang juga bekas guru, pernah memegang jawatan anggota Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Telok Kemang pada 1972 sehingga 1976, Naib Ketua Pemuda UMNO Telok Kemang (1976-1978), Ketua Pemuda UMNO Bahagian Telok Kemang (1978-1982), Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan (1980-1982), Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang (1982-2017), Anggota Majlis Tertinggi UMNO (1990-1993) dan Naib Presiden UMNO (2004-2005).

Di dalam kerajaan, bekas pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu pernah memegang jawatan penting iaitu Menteri Wilayah Persekutuan pada 2004 sebelum melepaskan jawatan itu setahun kemudian.

Mohd Isa, 69, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bagan Pinang, Port Dickson dan kemudiannya di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya, Mohd Isa mendirikan rumah tangga bersama Puan Sri Hazizah Tumin pada 26 Nov 1977. Hazizah meninggal dunia pada 7 Dis 2005 di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, Kuala Lumpur akibat kanser.

Beliau kemudian berkahwin dengan bekas Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid pada 2010.

Baru-baru ini, Mohd Isa mengesahkan telah keluar daripada UMNO untuk bertanding sebagai calon bebas PRK Parlimen Port Dickson yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru yang turut melibatkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang calon PAS serta empat lagi calon bebas.

-- BERNAMA