Itu urusan dia, kata Dr Mahathir ditanya ketidakhadiran Azmin

Itu urusan dia, kata Dr Mahathir ditanya ketidakhadiran Azmin
Dr Mahathir melambaikan tangannya kepada jurufoto selepas memberikan amanat pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR sesi 2018/2021, di sebuah hotel malam ini. --fotoBERNAMA
PORT DICKSON: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR sesi 2018/2021 malam ini, bukan urusannya.

Perdana Menteri turut menegaskan sama ada Mohamed Azmin hadir atau tidak, itu adalah urusannya sendiri.

His business, not my business (Itu urusan dia, bukan urusan saya),” katanya kepada media ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadiran Mohamed Azmin pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan di sebuah hotel di sini, malam ini. 

BACA: Azmin tidak dapat dikaitkan dengan video intim - Ketua Polis Negara


Dr Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan berkata demikian selepas menyampaikan ucapan amanat beliau selama kira-kira setengah jam pada majlis berkenaan.
Selain Mohamed Azmin, beberapa pemimpin tertinggi PKR turut tidak hadir, termasuk Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Chua Tian Chang dan Ali Biju.

BACA: Video intim: Azmin minta Anwar muhasabah, cermin diri sendiri

Mohamed Azmin bagaimanapun dijangka menyampaikan ucapan pada hari kedua sesi temurapat itu pada Sabtu, selain disertai ucapan oleh tujuh Naib Presiden yang lain.

Dalam pada itu, ditanya berhubung kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang mendakwa pemimpin sebuah parti politik dikenal pasti menjadi dalang dalam melakukan pakatan jahat merakam dan menyebar video hubungan songsang yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, beliau enggan mengulas lanjut.

"No comment," demikian jawabnya ringkas.

Abdul Hamid pada Khamis berkata, pihak yang menghasilkan video itu menerima upah ratusan ribu ringgit, bertujuan mengaib dan menjatuhkan maruah individu tertentu.

BACA: Video intim Haziq tulen - Ketua Polis Negara

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video intim membabitkan dua lelaki yang tular di media sosial dan pada 12 Jun, Haziq mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Setakat ini lapan orang termasuk Haziq telah ditahan bagi membantu siasatan kes video itu.