Jaga-jaga gerakan peralat Dr Mahathir jatuhkan Najib - Syed Ali

Jaga-jaga gerakan peralat Dr Mahathir jatuhkan Najib - Syed Ali
SYED ALI: Jaga-jaga gerakan peralat Dr Mahathir jatuhkan Najib - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya waspada dengan gerakan pihak tertentu memperalatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyerang Datuk Seri Najib Razak sehingga memaksanya melepaskan jawatan Perdana Menteri.

"Ini semua taktik terbaru pihak tertentu melaga-lagakan sesama pemimpin UMNO dengan tujuan menghancurkan perpaduan orang Melayu di negara ini," tegasnya dalam entri blog beliau.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu mendedahkan terdapat pihak tertentu yang sengaja menganjurkan perhimpunan dengan mengundang Dr. Mahathir memberikan ceramah yang keseluruhannya dilihat sebagai serangan terhadap Najib.

"Saya amat kesal dengan perkembangan itu, ada laporan menyebut Dr. Mahathir telah memulakan siri jelajah fasa kedua untuk menyerang Najib supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri," tegasnya.

Tambah beliau, gerakan sedemikian tidak memberi sebarang keuntungan kepada orang Melayu dan UMNO sebaliknya akan melebarkan lagi jurang perpecahan.

"Apa motif pihak penganjur mengadakan ceramah itu dengan menjadikan Dr. Mahathir sebagai alat untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO," katanya.
BACA: Saya tidak keseorangan - Najib

BACA: Orang kata saya juga tidak keseorangan - Tun Mahathir

BACA: Dr Mahathir akui mahu Najib jadi PM kerana kenang jasa Tun Razak


Syed Ali mengulas laporan beberapa portal yang melaporkan Dr. Mahathir memulakan fasa kedua kempennya terhadap pentadbiran Najib melalui siri jelajah.

Portal berita tersebut turut melaporkan bahawa siri jelajah itu sudah bermula Sabtu lalu apabila Dr. Mahathir hadir di sebuah dewan di Hulu Kelang.

Mengulas lanjut, Syed Ali percaya penganjuran siri jelajah tersebut tidak membabitkan pemimpin UMNO sebaliknya didalangi oleh pihak tertentu yang memusuhi Najib.

"Sukar untuk saya terima jika Dr.Mahathir sanggup membiarkan dirinya diperalatkan oleh pihak tertentu menerusi siri jelajah tersebut," tegasnya.

Sebagai pemimpin UMNO, Syed Ali turut kesal kerana penganjuran majlis seperti itu hanya akan menyaksikan permusuhan yang semakin ketara antara Dr. Mahathir dengan Najib.

"Saya hanya berharap isu melibatkan kedua pemimpin itu dapat diselesaikan sebaik mungkin demi kepentingan orang Melayu, ahli-ahlli UMNO dan negara secara keseluruhannya," tegasnya.

Syed Ali mengulangi pendiriannya bahawa ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi tetap menyokong kepimpinan Najib selaku Perdana Menteri dan presiden parti.

"Mengapa ahli-ahli UMNO perlu diheret dalam kemelut itu sedangkan mereka tetap berkeyakinan bahawa Najib merupakan presiden parti dan Perdana Menteri yang perlu diberikan sokongan sepenuhnya," katanya.

Manakala Dr. Mahathir pula ujarnya, tetap akan disanjung oleh ahli-ahli UMNO kerana pengorbanan, jasa dan sumbangannya amat besar terhadap pembangunan rakyat dan negara ini.

"Oleh kerana kedua mereka merupakan aset penting kepada UMNO, rasanya adalah lebih molek jika jalan perdamaian dapat dilakukan.

Mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Ibrahim yang mendakwa Tan Seri Muhyiddin Yassin tidak berkeupayaan memegang jawatan Perdana Menteri dan hanya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi pilihan Dr. Mahathir, Syed Ali menegaskan;

"Ini satu lagi batu api untuk melaga-lagakan pemimpin UMNO."

Syed Ali juga menyelar Zahid yang disifatkannya sebagai sengaja mencipta isu untuk meraih populariti murahan di atas kemelut hubungan Dr. Mahathir dan Najib.

"Orang seperti ini tidak perlu dilayan sangat, lagi pun dia sudah dipecat daripada UMNO, masuk PKR, kemudian lompat keluar, inilah manusia yang tak ada prinsip perjuangan," tegasnya.