Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan semua pihak agar tidak takbur dan sombong dalam isu perpaduan Melayu.

Hishammuddin berkata rakyat memerhatikan sikap pemimpin-pemimpin politik dari semua parti orang Melayu dalam isu perpaduan ini.

Namun beliau menegaskan akan menunggu pendirian semua parti dalam pekara tersebut terutama parti dalam Pakatan Harapan.

"Pelawaan ini untuk parti jadi partilah yang harus membuat pendirian dan penting untuk semua pihak buat pendirian termasuk parti dalam Pakatan Harapan.

"Saya akan tunggu pendirian PKR dan DAP dalam hal ini, cuma saya nak ingatkan dalam hal perpaduan Melayu, kita jangan takbur, kita jangan sombong dan kita jangan angkuh kerana orang akan perhatikan kita bukan saja dalam UMNO, bukan saja dalam Pas tetapi juga pihak yang menawarkan kerjasama ini," katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas seruan terbuka Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad kepada semua pemimpin dan ahli parti Melayu akan bergabung dalam satu parti dalam usaha menyatukan orang Melayu dan memastikan mereka terus kuat.


Mengulas lanjut, ahli Parlimen Sembrong itu berkata pelbagai perkara perlu dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Dalam kita nak bincangkan kesatuan umat Melayu dan ummah, penting juga kita fahami masyarakat ini merupakan masyarakat yang majmuk.

“Sebab itu, dalam nak fikirkan hala tuju ke depan, perlu fikir semua sentimen dan inilah yang saya tekankan beberapa kali sebelum ini,” katanya.

Pakatan Harapan dijadualkan mengadakan Majlis Mesyuarat Presiden bulanan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya petang Isnin.

BACA: Dr Mahathir ajak semua parti Melayu bergabung bawah satu parti

BACA: Penyatuan parti Melayu: Pelawaan Tun Mahathir logik - Mat Sabu

BACA: Semua pemimpin parti Melayu perlu sahut seruan Tun M - Muhyiddin

BACA: Jangan terus tolak pelawaan Tun M, lihat sudut positif - KJ



Menurut Dr Mahathir, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam parti Melayu termasuk UMNO dan sekiranya lebih banyak lagi ditubuhkan orang Melayu akan terus berpecah belah.

Justeru, demi memastikan orang Melayu menjadi kuat dan tidak berpecah belah, beliau mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah satu parti.