Kerjasama strategik Pas-UMNO bakal mengalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kelak.

Menurut Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Muein Abadi, ini kerana hanya perubahan sekitar 11 peratus undi Melayu diperlukan Pas dan UMNO (berdasarkan kajian kuantitatif Ilham Centre) untuk menguasai majoriti di Parlimen.

"Undi UMNO dalam PRU14 lalu ialah 2.5 juta. Undi Pas dalam PRU14 lalu ialah 2.04 juta," katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, usaha PH mengubah sistem pilihan raya daripada ‘First Past the Post’ kepada ‘Proportionate Representative’ dalam PRU15 juga akan memberi kelebihan besar kepada gabungan UMNO-Pas berdasarkan pola undi popular dalam PRU14 lalu.

"Undi popular kedua-dua Pas dan UMNO jauh meninggalkan undi Parti Bersatu iaitu 700,000 dalam PRU14 lalu.

"Undi Parti Amanah Negara pula sekitar 640,000 – dan rentetan kenyataan apologetik Menteri Amanah dalam isu sebatan LGBT dan ‘Hifz al-Din’ serta persepsi syiah yang sukar ditepis, pengaruh parti tersebut dijangka terus merosot teruk," katanya.

BACA: Kerjasama dengan UMNO bukan keperluan mendesak - Presiden Pas

BACA: Pas diingatkan hati-hati berbaik dengan UMNO


Katanya, demikian juga undi Melayu-Islam yang diperoleh PKR boleh digugat dengan pelbagai isu dalaman dan luaran yang bakal menjejaskan 2.1 juta undi popular mereka dalam PRU14 lalu.

Jelasnya lagi, penguasaan Pas di Kelantan dan Terengganu serta UMNO di Perlis dan Pahang bakal diperkukuhkan hasil pemupukan persefahaman Pas-UMNO menjelang PRU15.

"Melalui kerjasama strategik Pas-UMNO, mereka boleh melimpahkan lebihan undi mereka di Pantai Timur ke Pantai Barat melalui penempatan semula daftar pengundi dalam kalangan penyokong mereka," katanya.

Katanya lagi, Kerajaan PH di Perak juga akan runtuh memihak kerjasama UMNO-Pas.

BACA: Guan Eng tak faham Pas nak kerjasama UMNO

BACA: Teliti keikhlasan, kesungguhan UMNO - perwakilan Pas


Ditambah pula dengan sikap DAP yang dikenang mendesak jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tuntutan tanah 999 tahun.

Jelasnya, dengan timbulnya cadangan untuk menurunkan had usia layak mengundi juga bakal memberi impak ke atas pola undian PH – dengan demografi Melayu dan Bumiputera mengatasi kadar kelahiran bukan Melayu. Sekali gus manfaat kepada Pas-UMNO.

BACA: UMNO, Pas tak mungkin boleh bersatu

BACA: Kerjasama Pas-UMNO sebahagian konsep Gagasan Sejahtera - Ahmad Shamsuri


Dalam pada itu, tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterus-terusan melempar tuduhan bahawa Orang Melayu ‘malas’ dan ‘mengharapkan bantuan tongkat kerajaan’, sedangkan keluarga beliau sendiri kaya-raya dilimpahi projek-projek kerajaan, bakal memberi kesan jangka panjang mengalih sokongan kepada Pas-UMNO.

"Kegagalan Manifesto Pakatan seperti Janji 100 Hari PH juga bakal mengalih sokongan PH kepada gabungan Pas-UMNO sebagai satu-satunya blok pembangkang tunggal.

"Isu kegagalan menunaikan Manifesto ini lebih terkesan ke atas undi Pakatan di kawasan bandar dan separa-bandar – dijangka memberi impak di Selangor dan Johor," katanya.