Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kerjasama Pas, UMNO dan Bersatu masih kabur dan bercelaru - Penganalisis politik

Kerjasama Pas, UMNO dan Bersatu masih kabur dan bercelaru - Penganalisis politik
Ketua-ketua parti yang mendokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bergambar bersama dalam satu pertemuan di Putrajaya 1 Julai lalu. - Bernama
KUALA LUMPUR: Dinamika yang timbul akibat perselisihan faham antara UMNO, Pas, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menjadi lebih jelas apabila ia diterjemahkan dalam realiti politik.

Penganalisis Politik dari Universiti Malaya Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata, kecelaruan itu akan lebih terlihat dalam konteks pembahagian kuasa, dan kerusi sewaktu menghadapi sebarang pilihan raya.
Beliau berkata, perkara itu sudah dijangkakan memandangkan hubungan sedia ada berlandaskan persefahaman yang longgar, dan ketiga-tiga parti pula mempunyai audiens sasaran yang sama iaitu Melayu Muslim.

“Apa yang berlaku, menunjukkan kecelaruan yang dihadapi Muafakat Nasional untuk bahagikan kepentingan parti parti yang terlibat, dalam konteks pembahagian kerusi. Ia akan melibatkan kawasan yang sama - kawasan yang dikenali dominasi majoriti Melayu.
“Kerana Pas, UMNO mahupun Bersatu merupakan parti yang mendominasi, atau didominasi orang Melayu.
Mereka akan berebut atau akan mahukan kerusi yang sama antara ketiga-tiga parti ini. Ia akan memberikan sedikit pertembungan,” katanya kepada Astro AWANI.

Semalam, Pengerusi Bersatu Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor dilaporkan sebagai berkata, parti itu mahu bertanding di 45 daripada keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah menjelang pilihan raya negeri itu.

Perkara itu mendapat kritikan hebat daripada UMNO apabila Ketua Penerangannya Shahril Suffian Hamdan dilaporkan berkata, sebarang keputusan perlu melalui meja rundingan.

BACA: 'Bersatu bertanding 45 kerusi DUN Sabah? Jangan mimpi' - Shahril Hamdan

Pengerusi BN Sabah, yang juga Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini pula berkata UMNO tidak akan berlawan kurang daripada 32 kerusi DUN Sabah, jumlah yang ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum lepas.

BACA: Agihan kerusi BN, rakan sekutu selesai dalam 2 minggu - Bung Moktar

Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar pula, pada 30 Julai lepas dilaporkan berkata, Muafakat Nasional, iaitu kerjasama politik antara UMNO dan Pas selesai mengagihkan 90 peratus kerusi DUN Selangor antara kedua-dua parti itu.

BACA: PRU15: Muafakat Nasional Selangor selesai agih 90 peratus kerusi

Manakala Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mahu mempertahankan enam kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada PRU lepas.

Kesemua senario yang berlaku menimbulkan persepsi negatif mengenai usaha kerjasama antara ketiga-tiga parti Melayu Islam terbesar di negara ini.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, sama ada Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional, ia harus dimuktamadkan dengan segera melalui cara pendaftaran yang sah.

Apabila pendaftaran sudah selesai, ujarnya lagi, barulah ia akan memberi lebih ruang kepada jenis kerjasama yang ingin dilakukan ketiga-tiga parti ini kerana yang penting, asasnya sudah ada iaitu nama rasmi gabungan parti yang terlibat.


Tag: UMNO, PAS, Bersatu, PPBM, politik, pilihan raya, Astro Awani, Parlimen, pilihan raya umum, Malaysia, Dr Hamidin Hamid



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.