Kenyataan negatif pemimpin DAP mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pas membuktikan pemimpin parti itu gemar memanipulasi sentimen agama dan perkauman untuk meraih sokongan rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sikap prejudis terhadap kerjasama BN dan Pas adalah politik tidak matang dan berniat jahat.

Menurutnya, BN sentiasa mengamalkan sikap toleransi antara kaum, termasuk meletakkan calon MIC dan MCA bertanding di kawasan majoriti Melayu.

"Kita tak pernah jadi seperti Taliban. Ini merupakan satu pandangan prejudis, satu buruk sangka. Yang menggambarkan seolah-olah bahawa kita orang Islam ini ialah satu bangsa yang cauvinis, yang menghancurkan orang lain.

"Selama ini terbukti, apabila orang Melayu berkuasa, tak pernah pun kita menganaktirikan orang lain. Tak pernah kita menghina, menzalimi orang lain. Ini jelas," katanya.

Ahmad mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming, sebelum ini yang mendakwa Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya UMNO dan Pas membentuk kerajaan.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Perwakilan Berkelompok Persidangan Tahunan UMNO cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, mengulas cadangan mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir BN dan Pas, Ahmad berkata ia mampu memberi impak positif dan mendatangkan tekanan kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Menurutnya, kerajaan campuran itu juga bakal menyaksikan penyatuan Melayu dan Islam yang lebih kukuh dan mantap.

Katanya, beliau menyokong penuh usaha Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan berharap agar agenda penyatuan itu dapat dilaksanakan segera.

"Peluang untuk orang Islam, orang Melayu, berkuasa balik di tanah air kita ini adalah lebih cerah sekiranya kedua-dua parti ini benar-benar bersatu.

"Perpaduannya wujud dengan sikap yang bertanggungjawab, ikhlas dan sebagainya," tambahnya.