SHAH ALAM: Politik Terengganu sentiasa berubah-ubah dan tidak mustahil UMNO menjadi kerajaan negeri selepas kekalahan pada 2018.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, berdasarkan rekod kerajaan yang menerajui negeri tersebut ia sentiasa bersilih ganti di antara dua parti berkenaan.

Menurutnya, biarpun UMNO tewas teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi tidak mustahil parti itu kembali menjadi kerajaan.

“Terengganu merupakan negeri pertama yang diperintah oleh Pas selepas pilihan raya pertama tetapi hanya bertahan dua tahun lapan bulan kerana adanya undi tidak percaya.

“Ketika itu kita (UMNO) tewas 28-4 dan hanya memperoleh empat kerusi sahaja, namun menang kembali pada tahun 2004.

“Pada tahun 2007, sekali lagi UMNO kalah dengan kedudukan 22-8 dan kita percaya ia sentiasa berubah walaupun tewas teruk baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 405 yang bertajuk PRN: Banyak Isu Belum Selesai? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mohd Yadzil Yaakub; Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Rsn Rayer dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Pada masa sama, Ahmad memberitahu bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang jujur.

Beliau mendakwa tindakan Pas mengagihkan bantuan sewaktu berkempen pada PRU15 adalah menyalahi akta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM).

“Perbuatan itu dianggap rasuah kerana parti tersebut menyalurkan bantuan beberapa hari sebelum pilihan raya berlangsung.

“Bayangkan semua golongan diberikan bantuan itu tidak kira anak muda, pelajar universiti, veteran dan sebagainya. Tindakan pas itu menyebabkan kita (UMNO) kalah teruk sehingga 20,000 hingga 30,000 undi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad menjelaskan sewaktu UMNO menjadi kerajaan negeri, parti tersebut tidak pernah gagal dalam menyalurkan bantuan raya.

Beritahunya, bermula tahun 2001, UMNO sudah mengagihkan dana untuk orang ramai menyambut hari raya dan ia diteruskan sehingga tahun 2018.  - Sinar Harian