Tan Sri M. Kayveas akan mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dalam masa terdekat untuk membincangkan kemelut pemilikan kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP) itu berkata, ia sekali gus usaha menyelesaikan perkara tersebut dengan cara yang baik dan mengelakkan pertelingkahan di antara komponen parti.

"Saya telah membuat keputusan untuk berjumpa dengan Presiden MIC dalam masa yang terdekat.

"Ia susulan daripada kenyataan S. Subramaniam bertarikh 19 Oktober 2017 yang mengesahkan kerusi Parlimen Cameron Highlands masih kekal milik parti itu.

"Ia juga selari dengan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 21 Oktober lalu yang beliau akan memilih calon yang disukai dan diterima pengundi," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: 17 tahun saya tunggu kerusi Cameron Highlands - Kayveas

BACA: MIC nasihat Kayveas bertanding di Pagoh

Sebelum ini, Subramaniam menegaskan Kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal milik MIC.

Jelasnya, dakwaan Kayveas bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands akan dikembalikan kepada parti itu adalah tidak benar sama sekali.

Dalam pada itu Kayveas melahirkan rasa bimbang ketegangan akan berlaku jika keadaan itu berterusan di dalam media sosial.

"Pasti ia akan menimbulkan ketegangan antara pihak MyPPP dan MIC sekali gus menjejaskan nama baik BN secara keseluruhannya.

"Dalam masa yang sama, saya juga faham akan kerisauan Subramaniam jika berlaku pengurangan kerusi, namun saya yakin dengan adanya perbincangan khusus di antara pihak kami, akan ada penyelesaian terbaik untuk MyPPP dan MIC.

"Oleh itu, saya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk mengajak pihak MIC berbincang dengan pihak saya bagi mencari jalan terbaik demi kemenangan parti," ujarnya.

Bagaimanapun kata Kayveas, pihak MyPPP yakin Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat keputusan yang terbaik dengan meletakkan calon yang paling sesuai di kerusi tersebut.

Kayveas sebelum ini dilaporkan bersedia menukar dua kerusi tradisi mereka dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain pada PRU14 atas semangat kerjasama dan perpaduan.

Beliau berkata dua kerusi tersebut ialah Parlimen Kepong di Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar di Teluk Intan, Perak yang akan diserahkan masing-masing kepada Gerakan dan MCA.