Keputusan Tun Dr Mahathir pada Isnin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Parti Bersatu Pribumi (Bersatu) telah menimbulkan kegusaran kepada pelbagai pihak.

Sejauh mana ia mengubah landskap politik negara dan apakah hala tuju seterusnya? Semuanya masih menjadi persoalan.

Rentetan kemelut sejak Ahad lepas, bermula dengan lima mesyuarat mengejut yang diadakan secara serentak iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ketua Menteri Sarawak bersama Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS), UMNO, Pas dan kem Datuk Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin, telah menimbulkan pelbagai spekulasi terutamanya berkenaan kepimpinan negara.

Pastinya dengan keputusan penting yang telah diambil sejak itu memberi kesan, tidak kira dari segi komposisi kerusi dan penentuan pihak yang cukup besar kepada beberapa negeri. Antaranya:

1. MELAKA

Melaka antara negeri yang jelas terkesan dengan perubahan politik negara ini apabila Bersatu mengumumkan ‘perceraian’ bersama PH seperti yang diumumkan.

Susulan itu, komposisi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terjejas dan menyebabkan kepimpinan negeri berubah.

PH dan Barisan Nasional negeri masing-masing mempunyai 13 kerusi DUN manakala Bersatu dengan dua kerusi.

Terdahulu hari ini, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, mengucapkan terima kasih kepada rakyat Melaka atas peluang memimpin Melaka, meskipun dalam masa singkat.


BACA: Adly ucap terima kasih, perubahan kepimpinan negeri dijangka


2. KEDAH

Selain Melaka, Kedah turut terkesan. Sekiranya terdapat perubahan, komposisi DUN Kedah akan terjejas.
Ini kerana perbezaan komposisi kerusi di peringkat DUN Kedah amat tipis iaitu 19 kerusi di blok kerajaan, manakala 17 kerusi bagi blok pembangkang.

Untuk rekod, Pas Kedah memiliki kerusi tertinggi di DUN negeri itu dengan 15 kerusi, dengan ditambah 2 kerusi Barisan Nasional (BN).

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula 7 kerusi, Bersatu (6 kerusi), Amanah (4 kerusi) dan DAP (satu kerusi).

Di peringkat Dewan Rakyat, Pas Kedah mempunyai 3 kerusi.

BACA: Jangan mainkan amanah rakyat, tunggu PRU akan datang - Amanah Kedah

VIDEO: PH Perak masih yakin kekal sebagai kerajaan


3. JOHOR

Kedudukan kerusi DUN Johor selepas pilihan raya umum ke 14 (PRU14) adalah 56 kerusi dan dari jumlah itu, 39 kerusi dimenangi Pakatan Harapan, DAP (14 kerusi), Amanah (9 kerusi), Bersatu (11 kerusi) dan PKR (5 kerusi).

Manakala, BN (16 kerusi) dan Pas ada satu kerusi di peringkat tersebut.

Dengan perkembangan terbaharu politik negara, Bersatu dan Pas mempunyai 27 kerusi dalam DUN setakat ini.

Selain dari komposisi kerusi, turut menjadi persoalan adakah Johor berkemungkinan besar akan ditadbir kerajaan campuran gabungan beberapa parti?

VIDEO: Malaysia2020: Spekulasi pertukaran pakatan di Johor


4. PERAK

Dalam kecelaruan politik negara ketika ini, Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri Dan Pembangunan Wilayah Perak (Exco), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata keadaan di negeri itu masih terkawal namun bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

Dalam pada itu, pemimpin PH negeri itu menolak sebarang unsur pembentukan kerajaan ‘pintu belakang’ dan menyifatkannya sebagai unsur khianat.


5. SARAWAK

Kerajaan GPS pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempunyai 19 kerusi di Dewan Rakyat dengan Ketua Whipnya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Daripada jumlah itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai 13 kerusi; Parti Rakyat Sarawak (PRS) tiga kerusi; Parti Demokratik Progresif (PDP) dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) satu kerusi.

Ketika ini, Sarawak dilihat memainkan peranan penting dalam menentukan Kerajaan Persekutuan sekarang.

Hal ini disebabkan, Sarawak memegang ‘kad penentu' yang membolehkan negeri itu memilih bahagian dalam membentuk komposisi Kabinet.

‘Kad penentu' itu penting kerana ia turut menjadi penentu buat agenda pembangunan negeri itu yang masih belum selesai.

Selain Sarawak, Sabah turut memainkan peranan penting dalam penentuan ini.

BACA: GPS, Warisan dan kuasa penentu Kerajaan Persekutuan, Apa maksud 5 mesyuarat politik diadakan serentak hari ini?