Beberapa wakil DAP dan Parti Pekerja-Pekerja Malaysia (PPM) hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran video yang didakwa berbaur perkauman di media sosial tiga hari lepas.

Pegawai khas Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata video berdurasi seminit itu berbaur ancaman dan hasutan serta boleh menyinggung perasaan dan mengganggu-gugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Kami mengutuk keras tindakan yanag berunsur provokatif dan boleh menyemai kebencian, prejudis seterusnya meruntuhkan kerukunan rakyat di negara ini," kata beliau kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam pada 9 pagi.

Beliau berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Rinting Cheo Yee How, ADUN Johor Jaya Liow Cai Tung dan anggota jawatankuasa PPM negeri Syed Othman Syed Abdullah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam DSP Norazam Saari mengesahkan polis menerima laporan itu dan siasatan akan dibuat.