Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz melahirkan rasa hairan melihat reformasi menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dulunya hangat diperkatakan kian hilang sekarang.

Malah, katanya, golongan yang melaungkan reformasi pada masa dulu bercadang mahu mengangkat Tun Mahathir sebagai perdana menteri pula sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU14.

Tambah Mohamed Nazri, situasi itu menunjukkan pembangkang tidak rasional dalam tindakan dan hanya bertindak memenuhkan dendam kesumat mereka.

“Paling buat saya ketawa selepas 22 tahun adakan reformasi untuk jatuhkan Dr Mahathir tapi hari ini mereka beritahu kepada rakyat kalau mereka menang, mereka tawarkan Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

“Inilah pembangkang, tindakan mereka tidak rasional, hanya didorong usaha untuk penuhkan dendam kesumat. Mereka tiada isu tapi hanya kongsi satu sifat, bencikan perdana menteri dan BN.

“Biarlah dia benci, tapi apa kita tahu rakyat akan terus beri sokongan kepada BN kerana manifesto kita malah bukti kita berjaya perintah negara dengan baik selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri program Walkabout Pemimpin Sempena Fiesta Perpaduan dan Kebudayaan di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri menempelak kenyataan sesetengah pihak mengatakan BN melakukan pelbagai cara bagi memastikan tidak ramai rakyat turun mengundi pada PRU14 ini.

Tegasnya, spekulasi tersebut timbul kerana pihak pembangkang mencari alasan menutup kelemahan mereka sekiranya tumbang dalam pilihan raya tidak lama lagi.

“Mereka kena awal-awal cari alasan jadi mereka kena tuduh kerajaan BN cuba cari jalan untuk dapatkan kemenangan. Apa yang kita buat semuanya salah di mata mereka.

“Sebagai contoh, kerajaan BN bagi bantuan kepada rakyat, kerajaan Selangor dan Pulau Pinang pun buat perkara sama di negeri mereka.

“Bila dia buat, itu semua betul tapi bila kita buat, itu semua tak betul. Contoh macam Dr Mahathir, bila beliau dah tak bersama kita, mereka anggap Dr Mahathir betul,” ujarnya.