BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) sedia meletakkan calon bagi merebut kembali kerusi disandang Ahli Parlimen Bersatu sekiranya pengosongan enam kerusi berkenaan berlaku.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata sebelum ini kerusi-kerusi itu juga disandang oleh Ahli Parlimen daripada BN.

"Kita akan mengadakan perundingan dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk menentukan jika ada pengosongan kerusi itu.

Pasti perundingan untuk mendapatkan semula kerusi tersebut akan memberi keutamaan kepada calon-calon UMNO dan BN," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Mini Showcase anjuran Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau percaya Peraturan Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan kerusi Ahli Parlimen Bersatu berkenaan boleh dikosongkan biarpun terdapat usaha daripada Bersatu supaya ia berlaku.

Beliau berkata pindaan yang dilakukan Bersatu nampaknya seperti satu pembalasan kepada tindakan seorang daripada pemimpinnya yang membawa masuk Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai parti berkenaan.

"Kini tanpa sebarang usaha pun daripada pihak UMNO dan BN, kita lihat enam orang daripadanya telah bersama menyokong Perdana Menteri," kata beliau yang juga Presiden UMNO.

Semalam, media melaporkan enam kerusi Parlimen milik Bersatu bakal dikosongkan sekiranya wakil rakyat masing-masing kekal dengan pendirian untuk menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Khas parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Bagaimanapun, pelaksanaan pindaan itu tertakluk kepada kelulusan daripada Jabatan pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan menghantar laporan mengenai pindaan itu kepada jabatan itu terlebih dahulu untuk mendapat kelulusan sebelum ia dikuatkuasakan serta-merta.

Sekiranya semua enam kerusi itu dikosongkan, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

-- BERNAMA