Kira-kira 10 tahun lepas, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim mula menyertai misi kemanusiaan dalam dan luar negara termasuk ke Jepun dan New Zealand, bagi membantu penduduk terjejas ekoran gempa bumi dan bencana alam.

Dari situ, minatnya untuk membantu orang yang memerlukan semakin meningkat dan berkembang sehinggakan aktiviti tersebut sebati dengan dirinya.

Baru berumur 47 tahun, namun pelbagai pengalaman telah dikutip calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan.

Antara lain, beliau pernah terlibat dalam aktiviti membanteras penagihan dadah di kawasan Petaling, menyelamatkan mangsa banjir di Pantai Timur, membawa pulang pelajar Malaysia sewaktu Ops Pyramid dan misi kemanusiaan untuk masyarakat Rohingya di Myanmar.

"Saya sudah lalui keluh-kesah perit jerih di akar umbi, hingga karenah birokrasi di peringkat atasan, sewaktu terlibat dalam misi kemanusiaan. Namun ia tidak mematahkan semangat untuk berjuang bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Kerana itu, saya melibatkan diri dalam arena politik kerana percaya peluang dan ruang lebih luas dapat digunakan bagi menyalurkan perkhidmatan tidak berbelah bahagi dan bermusim.

"Saya percaya, sudah sampai masanya segala pengalaman yang telah dikutip sewaktu misi kemanusiaan itu diterjemahkan dan disampaikan pula ke penduduk sekitar Petaling Jaya dan kawasan berdekatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Paling penting katanya, apa sahaja isu masyarakat adalah terperinci dan memerlukan respons serta penyelesaian segera.

Antaranya, jelasnya, masalah denggi, gejala dadah, kurangnya kemudahan sukan dan perlunya diwujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) seperti yang telah ada di tempat lain.

"Saya percaya, jika isu dan perkara ini diselesaikan, masyarakat sekitar akan dapat hidup lebih senang dan selesa berbanding sekarang.

"Saya lihat pentingnya masalah rakyat di bawah diselesaikan terlebih dahulu dengan cara diplomasi dan bukannya emosi, kerana ia boleh menyebabkan berlakunya persengketaan dan perpecahan di kalangan komuniti setempat dan masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut, Mutalif berkata politik adalah arena untuk mempersembahkan pakej perkhidmatan yang lebih relevan dan berguna untuk masyarakat, dan bukan medan mengutuk serta menjatuhkan orang lain.

Beliau percaya, dengan pertandingan sihat, pengundi akan lebih terbuka dan bertamadun untuk memilih siapa wakil rakyat yang benar-benar memperjuangkan dan menyelesaikan nasib mereka.

DUN Taman Medan di bawah Parlimen Petaling Jaya menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Abdul Mutalif, Ariffin Mahayuddin (Pas) dan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (PKR).

Penyandang DUN Taman Medan ialah Haniza Mohamed Talha dari PKR yang memegang kerusi itu sejak PRU12 pada 2008.