Datuk Seri Najib Tun Razak berharap lawatan beliau ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili hari ini akan membawa tuah dan mengulangi kemenangan Barisan Nasional di kawasan itu dalam pilihan raya negeri ini nanti.

Katanya sebelum ini beliau pernah membuat lawatan ke kawasan ini dua hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 yang diadakan pada 2011.

"Hari ini secara kebetulan saya datang sekali lagi dua hari sebelum pengundian dan saya berharap ini akan menjadi tanda keramat bahawa calon Barisan Nasional (untuk N33 Engkilili), saudara Dr Johnichal Rayong (Ngipa) akan menang dengan majoriti besar kali ini," kata perdana menteri ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Rumah Panjang Christopher Ningkan di Pais, Skrang di sini.

Untuk pilihan raya kali ini, Dr Johnichal Rayong ditentang calon PKR Nicholas Bawin Anggat dan dua calon bebas, Adan Sandom dan Ridi Bauk.

Dalam pilihan raya negeri tahun 2011, beliau memenangi kerusi kawasan itu dengan majoriti 3,807 undi.

Najib berkata sebelum beliau, ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein juga pernah melawat kawasan Engkilili semasa menjadi Perdana Menteri.

Katanya keprihatinan ayahandanya dan keinginan beliau (Najib) sendiri untuk memberi perhatian khusus kepada Sarawak membuktikan perjuangan panjang yang telah dilalui Barisan Nasional untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Melalui lawatan-lawatan yang telah dibuat sebelum ini, Najib berkata beliau memahami harapan rakyat Sarawak yang mahukan pembangunan yang lebih baik lagi.

"Saya tak pernah 'lejuk' (bahasa Melayu Sarawak untuk jemu). Saya tak pernah jemu melawat Sarawak kerana saya ingin membantu Sarawak untuk terus maju," katanya.

Dalam majlis itu, beliau turut meluluskan permohonan untuk menaik taraf Jalan Ulu Skrang yang menghubungkan 24 rumah panjang dan dua sekolah di kawasan itu dengan Lebuhraya Pan-Borneo.