Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pekan, kata Najib dalam catatan di Facebook miliknya.

“Saya akan terus memimpin UMNO Pekan dan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pekan,” kata Najib.

Beliau pada masa sama menyeru ahli UMNO untuk meneruskan perjuangan parti itu dan perlu segera bangkit daripada kesedihan lalu.

“Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN saya bertanggungjawab atas kekalahan dalam PRU14.

“Kita mesti ambil iktibar, kuatkan iltizam dan perbaiki kelemahan serta kuatkan UMNO, agar kita dapat kembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Oleh itu, ahli UMNO hendaklah kuatkan semangat, perkukuhkan ketahanan diri untuk terus menyubur dan memulihkan UMNO.” ujarnya lagi.

Sementara itu Najib berkata beliau akan terus memberikan kerjsama kepada pihak berkuasa dalam siasatan berkaitan 1MDB.

“Saya juga akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan terhadap saya yang sebenarnya bersifat dendam politik.

“Setakat ini, saya telah dua kali memberi keterangan kepada SPRM,” katanya sambil menambah beliau akan membuka satu pejabat sendiri bagi memudahkan urusan peribadi beliau.