Pasti semua sedia maklum bahawa calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu mengemukakan wang deposit untuk bertanding sama ada bagi kerusi Parlimen sebanyak RM10,000 dan Dewan Undangan Negeri (DUN), RM5,000.

Selepas keputusan rasmi diumumkan awal pagi Khamis, sejumlah 269 calon Parlimen dan DUN kehilangan wang deposit.

Ini kerana, calon yang gagal memperoleh 12.5 peratus atau satu per lapan undi jumlah keseluruhan yang dikira akan hilang wang deposit.

Antara nama-nama hangat diperkatakan sepanjang PRU14 yang hilang wang deposit adalah calon di kerusi DUN Chempaka, Nik Omar Nik Aziz.

Beliau yang juga merupakan anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan tewas kepada calon PAS, Ahmad Fathan yang menang dengan 10,549 undi.


Selain itu, calon paling versatil PRU14 ini, Azwan Ali turut hilang wang deposit apabila meraih 90 undi dalam pertembungan lima penjuru bagi DUN Bukit Antarabangsa.

DUN berkenaan turut menyaksikan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berjaya mengekalkan kemenangan dengan majoriti 25,512 undi.