Pakatan Harapan Negeri Perak hari ini sebulat suara mencadangkan Ahli Parlimen Batu Gajah daripada DAP, V Sivakumar sebagai calon Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dalam sesi pemilihan speaker baharu yang bakal diadakan 9 Ogos depan.

Jawatan Speaker kosong susulan peletakan jawatan Speaker Datuk Seri Devamany yang dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bulan lepas.

Pengerusi PKR Perak, Senator Dr Muhammad Manuty berkata pihaknya sepakat mencalonkan Sivakumar berikutan beberapa pengalaman beliau dalam menjadi pemimpin dan kelayakan beliau dalam bidang politik sejak beberapa tahun.

" V Sivakumar merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri semasa Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Negeri selepas PRU-12 pada tahun 2008.

"Selain itu, beliau juga mempunyai kelayakan akademik Sarjana Muda Udang-Undang dan Sarjana Pengurusan Perdagangan, juga adalah Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP Pusat, Ahli Jawatankuasa International Parliamentarian Union (IPU) Malaysia dan Ahli Parlimen Batu Gajah. Beliau juga pernah menjadi ADUN kawasan Tronoh,"katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Dr Muhammad Manuty berkata pihak Pakatan Harapan juga percaya bahawa Sivakumar adalah calon yang paling sesuai untuk memegang jawatan penting ini dan mampu menjaga martabat Dewan Negeri Perak dengan baik dan penuh dengan tata susila.

"Justeru, Pakatan Harapan menyeru seluruh 59 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Perak termasuk dari Barisan Nasional dapat mengundi V Sivakumar berdasarkan kelayakan calon dan merentasi politik parti pada 9hb Ogos nanti," ujarnya.