PEMBENTUKAN pakatan baharu tajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dianggotai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia telah menimbulkan kejutan sebahagian besar ahli-ahli UMNO dan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), malah ada yang berpendapat Tun Mahathir menubuhkan pakatan baharu semata-mata sebagai skim atau wadah bagi meneruskan agenda beliau untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Ramai terkejut dengan pembentukan pakatan baharu oleh Tun Mahathir kerana beliau adalah seorang tokoh politik dan negarawan yang pernah menerajui parti UMNO sekali gus BN lebih dua dekad. Beliau juga seorang pemimpin UMNO yang sering diserang dan dikutuk oleh pembangkang, terutamanya DAP.

Catitan kerjaya politik Tun Mahathir menunjukkan beliau pernah dipecat dari UMNO oleh bekas presiden UMNO merangkap perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, malah pernah keluar dari UMNO dan berkempen untuk menjatuhkan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Rakyat terkejut dengan langkah Tun Mahathir bukan kerana beraktif politik tetapi kerana membentuk pakatan baharu untuk menjatuhkan kerajaan BN yang ditunjangkan UMNO, satu-satu parti politik yang mewakili dan membela kepentingan kaum Melayu dan agama Islam dalam negara ini.

Persoalannya, adakah Tun Mahathir membentuk pakatan baharu mengharapkan sokongan merentasi batasan kaum, atau hanya mengharapkan sokongan kaum Melayu?

BACA: PAS tidak terburu-buru sertai pakatan pembangkang diketuai Dr Mahathir

Kita jangan lupa kaum Cina yang umumnya dianggap sebagai penyokong parti pembangkang pernah menyokong BN apabila kepimpinan BN menghadapi serangan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada tahun 1999.

BN kepimpinan Tun Mahathir yang dijangka kalah teruk dalam PRU10 kerana kehilangan sokongan kaum Melayu akibat pemecatan Anwar daripada UMNO dan jawatan Timbalan Perdana Menteri, telah menang luar jangkaan kerana dapat sokongan hebat daripada kaum Cina dan India.

Kaum Cina yang bimbang terhadap kesan gerakan Reformasi yang ditajakan oleh Anwar telah memihak BN agar Malaysia tidak terjebak dalam kancah huru-hara seperti berlaku di Indonesia akibat kebangkitan reformasi di sana.

Kita jangan lupa bahawa kaum Cina lebih mementingkan kestabilan politik yang menjamin pembangunan ekonomi berbanding dengan politik semata-mata. Kaum Cina menyokong Tun Mahathir ketika itu kerana beliau cekap mengurus krisis kewangan yang melanda negara. Tetapi, adakah aura Tun Mahathir masih segar dalam kalangan pengundi Cina dalam suasana landskap politik semasa?

BACA: Gani Patail nafi terlibat dalam parti baharu ditubuh Dr Mahathir

Pakatan baharu tajaan Tun Mahathir ini dijangka dapat sokongan daripada kaum Melayu hanya di beberapa kawasan tertentu dan bukan bersifat menyeluruh. Tidak dapat dinafikan penyertaan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meraih sokongan dalam kalangan pengundi Melayu di kawasan Pagoh di Johor. Manakala, pengaruh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula adalah terhad di Semporna, Sabah.

Selain itu, pengaruh dan sokongan terhadap Amanah juga didapati amat terhad kerana parti itu adalah sebuah parti serpihan PAS malah masih bergantung kepada sokongan DAP untuk survival.

Sehubungan ini, pengundi India yang menjadi kingmaker atau pihak penentu keputusan PRU12 pada 2008, dijangka akan terus mampu menentukan hasil PRU14. Pengundi India di seluruh negara terutamanya di 60 kawasan parlimen dalam lingkungan lima hingga 30 peratus dijangka akan menolak pakatan baharu Tun Mahathir kerana mereka beranggapan beliau tidak laku adil kepada mereka ketika beliau mentadbir negara ini.

Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam terkejut dan kecewa dengan sikap Tun Mahathir membentuk pakatan baharu. Ketua Pemuda MIC, C. Sivarraajh pula menuding jari kepada dasar dan polisi Tun Mahathir yang tidak adil kepada kaum India selama tempoh dua abad yang menyebabkan MIC kalah teruk dalam PRU12.

Namun, keputusan PRU Kuala Kangsar dan Sungai Besar bari-baru ini jelas membuktikan sokongan kaum India mengalih menyokong BN dalam menjamin kemenangan gemilang BN. Faktor sokongan padu pengundi India kepada BN mampu menjadi batu penghalang kepada skim Tun M untuk menewaskan BN.

Malah, sokongan hebat warga Bumiputra di Sabah dan Sarawak kepada BN, yang umumnya dianggap sebagai simpanan tetap BN, juga dijangka akan membantu BN mencapai kemenangan dalam PRU14 nanti.

* M. Periasamy merupakan seorang pensyarah Komunikasi strategik di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.