POLITIK
Pembangkang dan gangsterism jalanan berpisah tiada - Pemuda UMNO

Program Nothing to Hide 2.0 yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa (DRMM) di sini berakhir kekecohan. - Gambar fail
SELEPAS rusuhan jalanan dibawa oleh mereka, sekarang budaya merusuh dalam dewan pula diajar kepada anak bangsa Malaysia.
Budaya merusuh yang diajar sekian lama oleh pihak Pembangkang (PKR, DAP, Pas) sudah menular dan memakan diri mereka sendiri.
Dalam forum Nothing To Hide 2.0 pada Ahad, kononnya mahukan kebebasan dan menjawab semua persoalan ditanya oleh hadirin, tapi yang sebenarnya sekadar forum politik biasa yang mahu menghentam perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Apabila ditanya soalan berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijawabnya "Anwar pun tak tanya macam tu" dan apabila terus diasak, boleh pula menjawab "tujuan untuk menjatuhkan Najib".
Begitulah pusing-pusing berkisar soalan yang tiada jawapan.
Kebencian Pembangkang kepada Tun Mahathir sememangnya menebal, mana tidaknya, mereka membesar berjuang dengan membenci Tun M kerana memenjarakan Anwar Ibrahim.
Dan hari ini, pemimpin Pembangkang seperti Azmin Ali, Mat Sabu dan Lim Kit Siang, mereka yang mahu menangguk di air yang keruh dek mahukan kuasa, sanggup menelan apa sahaja yang telah mereka perjuangkan kerana rakuskan kuasa.
Mereka berjuang kerana percaya kepada kezaliman yang dicipta oleh DAP, PKR.
Hari ini, mereka menuntut jawapan daripada Tun M kerana mereka rasa ditipu dek prinsip perjuangan yang sekian lama mereka perjuangkan.
Sudah pasti apa yang terjadi di Nothing To Hide adalah persoalan yang perlukan jawapan sebelum akar umbi memaafkan Tun M.
Dari mula sehingga akhir, kedengaran jeritan menjerit, herdik mengherdik, maki memaki antara mereka sendiri.
Dewan mereka, moderator mereka, pengawal keselamatan mereka, yang hadir, penyokong mereka dan yang nak penjelasan pun mereka.
Jangan salahkan pihak lain kalau sendiri tidak pandai menjaga hal anda sendiri.
Walaupun saya diprovokasi untuk hadir di forum ini, saya mengambil jalan bersabar dan berkecuali kerana tahu forum ini tidak akan dapat mematikan dosa Tun M kepada pengikut PKR, DAP dan Serpihan Pas (Amanah).
Nasib baik saya tidak hadir !!!
*Datuk Razlan Rafii adalah Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dan aktif dalam politik.
**Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami