Parti pembangkang perlu cukup kuat dan berkesan dalam memastikan urus tadbir kerajaan berada dalam keadaan yang lebih baik.

Menurut bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pembangkang harus berupaya menjadi alternatif yang dipercayai rakyat.

"Tetapi sekiranya pembangkang terlalu kecil, ia tidak berkesan dalam memastikan parti pemerintah tidak menyalahgunakan kuasa yang dimiliki.

"Tiada parti boleh memerintah untuk selama-lamanya," kata Dr Mahathir dalam ucap tama perasmian Kuala Lumpur Summit 2015 di Hotel Istana.

Selain itu, beliau menjelaskan sesebuah negara demokrasi memadai dengan dua parti politik kerana pertambahannya hanya akan membawa perpecahan dalam masyarakat yang seterusnya membentuk kerajaan tanpa majoriti kukuh.

Dalam pada itu, ketika mengulas dalam konteks negara Islam, Dr Mahathir melihat kebanyakan negara berkenaan gagal mentadbir urus negara dengan baik dan memberikan kemakmuran kepada rakyatnya.

Ia seterusnya mendorong kepada kebangkitan rakyat yang menentang pemerintahan autoritarian yang menindas untuk digantikan dengan pemerintahan yang demokratik.

"Ummah tidak dapat berbuat apa-apa terhadap sebuah kerajaan autoritarian walaupun mereka gagal menambah baik pentadbiran negara.

"Ramai orang Islam kagum dengan keamanan, pembangunan dan kekuatan negara-negara Barat yang mengamalkan demokrasi.

"Mereka percaya, jika mereka menerapkan demokrasi, negara Islam akan membangun dengan baik dan cukup kuat untuk mempertahankan ummah," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, keadaan itu tidak berlaku sepertimana yang diharapkan, sebaliknya wujud huru-hara apabila ada pihak tidak berpuas hati setelah pilihan raya dilaksanakan.

"Mereka mengharapkan semua pihak dapat memenangi pilihan raya tetapi itu tidak berlaku, hanya satu pihak akan menang.

"Parti yang kalah pula tidak dapat menerima keputusan, mereka menuduh pilihan raya penuh penipuan, ketidakadilan dan tidak demokratik. Hasilnya, mereka cuba menggulingkan kerajaan baharu itu dengan mewujudkan huru-hara menerusi rusuhan jalanan.

"Dan kitaran ini berterusan sebagai bukti mereka tidak memahami falsafah dan proses demokrasi," tegas Dr Mahathir.

Disebabkan itu, tambahnya, dunia Islam sering dikaitkan dengan keganasan.

"Semua ini kerana kegagalan kita mengamalkan ajaran Islam. Islam mengajar kita persaudaraan, sebaliknya kita bergaduh sesama sendiri," katanya.