Pemuda PAS sedia berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) secara bersendirian jika Majlis Syura parti itu memutuskan untuk mengakhiri kerjasama politik atau 'tahaluf siyasi' bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata demikian ketika mengulas isu tahaluf siyasi antara PAS dan PKR, yang kini menjadi antara topik utama dibangkitkan perwakilan melalui muktamar parti itu yang sedang berlangsung di seluruh negara.

“Memang dari segi sejarah sendiri pun ini bukan satu perkara yang pelik sebelum daripada ini pun PAS bersendirian dan PAS dari segi strategi politik menghadapi pilihan raya kita terbuka.

“Itu penting kerjasama ataupun persefahaman dengan mana-mana parti politik mestilah berteraskan dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS dan untuk kepentingan negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Kedah di Markas PAS Jerai, di sini petang tadi.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, memaklumkan status tahaluf siyasi PAS dan PKR akan dimuktamadkan Majlis Syura pada Muktamar PAS Pusat Ke-63, yang akan berlangsung di Kedah bermula 29 April hingga 1 Mei ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhammad Khalil mengakui kedudukan PAS mungkin lebih baik jika berada dalam gabungan pakatan pembangkang, namun menegaskan tidak akan sesekali menggadaikan perjuangan untuk menegakkan Islam.

“Kita membuka ruang mana-mana parti untuk bersama dengan kita tetapi mestilah menghormati dasar Islam PAS dan memenuhi syarat syarat persefahaman tersebut,” katanya.