Tutup

Penyertaan Yamani Hafez dalam Bersatu kukuhkan PH di Parlimen - Muhkriz

Penyertaan Yamani Hafez dalam Bersatu kukuhkan PH di Parlimen - Muhkriz
Pada Selasa, Yamani Hafez menerima kad keahlian Bersatu daripada Perdana Menteri, yang juga Pengerusi parti itu. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengalu-alukan penyertaan Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa ke dalam parti itu.

Mukhriz berkata dengan penyertaan Yamani Hafez, yang sebelum ini Ahli Parlimen bebas, akan menambah satu lagi kerusi bagi mewakili parti itu sekali gus memperkukuhkan kedudukan dan majoriti Pakatan Harapan (PH) dalam Parlimen.
"Ia juga membantu PH mempertahankan dasar-dasar kerajaan di Parlimen dan siapa juga (wakil rakyat) yang boleh membahaskan isu-isu berbangkit dalam Parlimen memihak kepada PH dan itu suatu yang baik kepada kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Dialog RMK12 dan Aspirasi Bumipreneur Muda Sabah di sini, Selasa malam.

BACA: SPRM diminta siasat Yamani Hafez Musa
BACA: Selesai angkat sumpah, Yamani Hafez enggan bertemu wartawan

Semalam, Yamani Hafez, yang merupakan anak sulung kepada bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, menerima kad keahlian Bersatu daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi parti itu pada majlis jamuan makan tengah hari Bersatu Sabah bersama Dr Mahathir.

Penyertaan Yamani Hafez menjadikan Bersatu Sabah kini mempunyai lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri.

-- BERNAMA