Ketua Penerangan UMNO Semporna, Datuk Ramlee Marahaban menyifatkan pertembungan dengan mana-mana calon pembangkang termasuk Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah pertembungan kalah - mati (Survival Do or Die Battle).

Tegasnya, beliau tidak gentar atau takut untuk berdepan dengan sesiapa sahaja calon yang diturunkan pembangkang di kerusi parlimen itu.

Menurut Ramlee, jika pertembungan itu menjadi nyata, beliau sedia menyahut cabaran untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN untuk mentadbir kawasan tersebut.

Difahamkan, Parti Warisan Sabah (Warisan) akan mengumumkan senarai calon bagi PRU14 pada esok.


"Saya bersedia dan penuh yakin dengan rakyat Semporna keseluruhannya dan saya yakin mereka (rakyat) boleh membezakan yang mana kaca atau intan.

"Jika itu dianggap sebagai 'bebanan' kepada saya, saya kena ambil cabaran tersebut dan saya akan memastikan BN dapat menang pada kerusi parlimen itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI selepas pengumuman sebagai calon bagi kerusi parlimen itu hari ini.

Sementara itu, calon muka baharu yang juga calon muda Caesar Mandela Malakun, 27 yang akan bertanding di kerusi Parlimen Penampang, menganggap faktor umur bukanlah penghalang untuk beliau memperjuangkan dan membela golongan belia di kawasan tersebut.

Caesar Mandela Malakun, Barisan Nasional, BN, calon Sabah,

"BN Sabah saya lihat berani mempertaruhkan atau menyimpan seorang belia yang muda seperti saya pada PRU14 kali ini.

"Bagi saya pencalonan ini bukanlah kerana faktor umur semata-mata. Oleh itu, BN Penampang sudah bersiap sedia dan memberikan yang terbaik bagi merampas semula kerusi parlimen itu," katanya.


Mandela yang juga Pengerusi Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) juga berharap agar masyarakat di kawasan Penampang dapat memberi mandat kepada BN mentadbir serta membangunkan kawasan itu.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, percalonan beliau kali ini merupakan satu langkah ke hadapan jentera BN dalam mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong.

Jelasnya, beliau akan mengetengahkan suara golongan belia bagi mengangkat dan memperjuangkan nasib golongan muda selari dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Kita amat memerlukan anak-anak muda bukan sahaja boleh membawa inspirasi anak muda di Dewan Rakyat atau pun Dewan Undangan Negeri, tetapi juga memahami apa keperluan-keperluan mereka," katanya.

Exco Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar turut tersenarai sebagai calon DUN Kemabong pada PRU14.