Sebuah poster berkenaan program pemberian bantuan 5,000 baju dalam percuma yang tular di media sosial didakwa palsu.

Poster tersebut dilapor diubah suai daripada poster asal tentang program pemberian bantuan 5,000 cermin mata percuma kepada 2,000 penerima yang layak di sekitar Permatang Pauh.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata demikian ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah hari ini.


“Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan saya bahawa poster palsu itu telah wujud sekitar pukul 5.30 petang dan tular secara meluas di media sosial.

“Bagi saya, perbuatan mengubah suai poster program itu bukan sahaja menjatuhkan BN tetapi turut memalukan kaum wanita kerana ia seolah-olah menimbulkan persepsi bahawa mereka mengharapkan bantuan sedemikian,” katanya ketika berada di luar pejabat polis.

Sumber Facebook PergerakanPemudaUMNOPermatangPauh

Beliau berkata kes terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut mengikut Akta Berita Tidak Benar yang baru sahaja dikuatkuasakan semalam.

“Saya berharap kes ini akan selesai secepat mungkin bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” tambahnya.

Beliau akan meneruskan program berkenaan yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Kandu, Permatang Pauh pada 15 April nanti.