Tutup

PPBM akan buat rayuan susulan pembubaran sementara parti - Tun Mahathir

PPBM akan buat rayuan susulan pembubaran sementara parti - Tun Mahathir
Dr Mahathir ketika sidang media yang diadakan di bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengemukakan rayuan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung tindakan notis pembubaran sementara dibuat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, parti itu berhak berbuat demikian berikutan notis berkenaan tidak sampai kepada pihaknya secara rasmi.  
"Surat (notis RoS) itu tidak diberikan kepada alamat yang betul, ia tidak diserahkan kepada setiausaha parti, saya atau pegawai lain. Jadi, kami tidak menerima notis itu. Kami hanya mengetahui mengenainya (pembubaran sementara parti) melalui khalayak," katanya dalam sidang media di bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, jika Ahmad Zahid menolak rayuan berkenaan, parti itu akan terus mengemukakan isu berkenaan kepada mahkamah.
"Jadi kami mempunyai hak untuk membuat rayuan kepada menteri yang berkenaan, Datuk Seri Zahid Hamidi. Kami akan membuat rayuan ini.

BACA: PPBM dibubar sementara - RoS

BACA: Setelah parti dibubar sementara, ini reaksi awal PPBM

BACA: Banyak kesalahan undang-undang dalam notis RoS kepada PPBM - Tun M

"Kalau beliau menolak rayuan kami, kami akan membawanya ke mahkamah dan memohon mahkamah untuk memutuskan sama ada ia (pembubaran oleh RoS) adalah wajar atau tidak notis kepada kami itu," ujarnya.

RoS sebelum ini mengeluarkan perintah pembubaran sementara PPBM berdasarkan notis mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966.