Calon Pas pada pilihan raya kecil Seri Setia, Dr Halimah Ali menegaskan beliau sentiasa bersedia untuk berdebat dengan lawannya dari Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar.

Malah, jelasnya, asalkan ia membawakan kebaikan kepada pengundi Seri Setia, beliau sanggup menerima jemputan penganjur mana-mana acara debat.

“Saya pergi sahaja sebab ada penganjur. Saya baru dapat surat jemputan (debat) tadi daripada penganjur.

"Kalau betul ada debat malam ini. Tidak menjadi isu kepada saya,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan kempen di SK Kampung Lindungan di sini hari ini.

Poster debat antara Dr Halimah dan Halimey itu dikatakan dianjurkan sebuah badan badan NGO, Gabungan Muafakat Penduduk Seri Setia.

Menurut Dr Halimah, beliau telah menerima jemputan debat berkenaan hari ini.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan calon PH gentar untuk berdepan dengannya sehingga mengelak setiap kali ada cadangan untuk berdebat oleh pihak-pihak tertentu.

BACA: Tak perlu berdebat dengan calon Pas - Halimey

“Agaknya (beliau gentar), sebab saya sudah buat apa yang perlu dibuat. Apa yang baik untuk rakyat, saya akan buat sama ada nak berdebat ke, apa ke, yang sebelah sana saya tidak boleh jawab bagi pihak dia.

"Saya akan pergi malam ini. Ini ada penganjurnya, bukan Pas yang anjurkan,” katanya lagi.