Pakatan Harapan akan mengambil kira pandangan kem Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum menentukan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, kata pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun kumpulan Dr Mahathir tidak dikira sebagai Pakatan Harapan secara rasmi, namun pandangan itu masih perlu kerana ia merupakan kerusi yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika masih bersama PH pada pilihan raya umum lepas.

Ujarnya lagi, PH tidak mahu dilihat mengambil tindakan tanpa berunding, dan seterusnya dilihat berlaku perpecahan dalam kalangan parti pembangkang.

“Oleh kerana mereka (Bersatu) bertanding di Slim, dan kita tidak mahu ada perpecahan di kalangan pembangkang. Dia (Bersatu) tak ada dalam PH, tetapi kita tak mahu bagi alasan kita akan terus ambil tindakan tanpa berunding, jadi kita berunding dulu kita jumpa dengan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Penerangan Keadilan di ibu negara, hari ini.

Anwar berkata hasil rundingan itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Pakatan Harapan, Selasa depan.
Semalam, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, laporan bahawa PH telah menyerahkan kepada kumpulan penyokong Dr Mahathir Mohamad PRK Slim adalah tidak benar.

Suruhanjaya Pilihan Raya pada Jumaat lepas menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 diadakan selepas PRU14.