Rakyat di negara ini, terutamanya pengguna internet, dinasihatkan agar tidak ghairah menyebarkan, berkongsi atau memuatnaik sesuatu berita yang tidak sahih di laman sosial mereka ketika musim kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Ahli Suruhanjaya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Md Afendi Hamdan berkata, sesuatu perkara yang tidak tepat dan palsu dilihat semakin menular dalam kalangan penggemar media sosial, khususnya golongan belia.

"Isu yang menaikkan sentimen membenci kerajaan harus dielakkan bagi melancarkan kelangsungan kempen pilihan raya umum kali ini," katanya sambil mengambil contoh apa yang berlaku pada hari penamaan calon 28 April lalu.

Katanya, pada hari itu di Sabah, terdapat penyebaran maklumat mengenai kemenangan percuma beberapa tokoh pembangkang dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dan juga calon Barisan Nasional (BN) yang dikatakan menarik diri.

Bagaimanapun, maklumat itu ternyata palsu.

Sehubungan itu, pihaknya mengingatkan orang ramai agar memanfaatkan inisiatif SKMM yang telah mewujudkan aplikasi dan laman SEBENARNYA.MY dengan menyemak kesahihan sesuatu perkara bagi mengenalpasti berita palsu atau sebaliknya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam pelancaran restoran Sandokan Seafood, di Libaran, malam tadi.

Mengulas lanjut, Md Afendi berkata, orang ramai terutamanya pengguna laman sosial harus lebih berhati-hati berkongsi atau menyebar sesuatu maklumat yang meragukan dan palsu kerana perbuatan berkenaan boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan mengikut Akta Anti-berita Tidak Benar 2018.

Beliau turut mengambil contoh terhadap sentimen segelintir pihak yang suka mengaitkan perkara negatif terhadap isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Jelasnya lagi, tindakan sebegitu bukan sahaja mampu meningkatkan perspektif negatif terhadap Rosmah sekali gus melunturkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sedia ada.