‘Sabah milik kita’ merupakan moto perjuangan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Assafal P. Alian berkata, moto itu membawa mesej jelas bahawa tampuk kepimpinan kerajaan negeri adalah ditentukan rakyat dan bukannya kuasa mana-mana menteri.

“Sebagai ahli parti kita sepatutnya tahu tujuan dan perjuangan yang dibawa oleh Warisan. Ketua Menteri hanya menasihati Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan dewan susulan kemelut politik yang berlaku.

“(Ekoran kemelut politik itu) Ada baiknya kita kembalikan mandat kepada rakyat. Kita serahkan kepada rakyat menentukan secara adil pada PRN nanti,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Lahad Datu.

Dalam perkembangan berasingan, Assafal yang juga Timbalan Ketua Warisan Bahagian Lahad Datu berkata, masalah infrastruktur dan kemudahan asas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku akan diselesaikan sekiranya Warisan diberikan mandat pada PRN nanti.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku berkata, pihaknya juga mempunyai misi untuk menjadikan Tungku sebuah daerah penuh.

“Sekiranya kita (Warisan) diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat Tungku, maka kita akan realisasikan,” katanya.