Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak amat berbesar hati dapat berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia sejak 2009, dan amat berbangga dengan segala pencapaian yang telah dikecapi.

Katanya, antara pencapaian beliau sepanjang menjadi perdana menteri ialah mampu mewujudkan sebanyak 2.7 juta pekerjaan baharu yang mana ia merupakan pertumbuhan purata 5.4 peratus sejak 2010 dan ini hanya boleh diimpikan oleh ekonomi-ekonomi terbesar dunia.

"Pendapatan Negara Kasar meningkat lebih 50 peratus, yang mana ini mewakili pertumbuhan besar dalam kekayaan negara, dan menjelaskan kenapa Tabung Kewangan Antarabangsa memuji kita kerana berada pada landasan yang tepat ke arah status negara berpendapatan tinggi.

"Ini semua adalah kejayaan setiap rakyat Malaysia, dan jangan biarkan sesiapa pun memberitahu anda sebaliknya. Jangan biarkan pembangkang memperkecilkan pencapaian-pencapaian ini dengan mengatakan ia tidak wujud, atau pun sesuka hati mendakwa bahawa negara kita berada di ambang kebankrapan," katanya dalam tulisan terbaru diblognya.

Presiden UMNO itu juga berkata, pemimpin gabungan yang menamakan diri mereka Pakatan Harapan sering mengkritik namun tidak menawarkan apa-apa yang membawa kebaikan kepada negara dan rakyat.

"Lebih teruk lagi, mereka menabur janji-janji palsu yang mereka sendiri tahu tidak boleh ditunaikan. Sebagai contoh; mereka mendakwa bahawa mereka akan menghapuskan GST namun mereka tidak pula mencadangkan bagaimana untuk menggantikan RM43 bilion yang dikutip tahun lepas," katanya lagi.

Dalam isu GST, Datuk Seri Najib menjelaskan keputusan untuk memperkenalkan cukai itu merupakan satu keputusan paling sukar untuk dirinya dan beliau sedar ia akan mengakibatkan sedikit kenaikan dalam harga beberapa barangan dan perkhidmatan, dan ini akan membebankan sebahagian rakyat Malaysia.

Namun, katanya, tanpa GST ekonomi negara akan terus bergantung kepada harga minyak yang mana ia berada di luar kawalan dan sebarang penurunan dalam harga minyak dalam pasaran dunia akan mengakibatkan negara terdedah kepada bahaya.

"Bagaimanapun GST telah membuatkan kita stabil dan berdikari secara fiskal.

"Dan walaupun wujud sedikit keperitan jangka pendek, saya beri jaminan bahawa manfaat yang kita terima adalah untuk jangka panjang dan akan dirasai selama bertahun-tahun pada masa hadapan," katanya.

Dalam tulisannya, Najib turut mengecam Pakatan Harapan dan mendakwa DAP adalah parti terbesar dalam gabungan tersebut dengan jumlah kerusi parlimen yang paling besar.

Dakwa beliau, DAP mempunyai kerusi parlimen yang paling besar dalam Pakatan Harapan, maka parti itulah kuasa sebenar dalam gabungan tersebut.

"Adakah mereka akan membenarkan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sekiranya mereka menang? Setiap kali ditanya, beliau kata perlukan lebih masa untuk memegang jawatan Perdana Menteri.

"Kini, beliau kata perlukan sekurangnya tiga tahun pula. Adakah mereka akan ambil risiko meletakkan individu berusia 92 tahun – yang memenjarakan ramai pemimpin mereka – kembali memegang kuasa?" soal beliau.

Justeru, Datuk Seri Najib menyeru agar rakyat mengingati pesanan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini bahawa adalah tidak bijak untuk memilih pemimpin yang berkongsi 'tempat tidur' yang sama tetapi mempunyai impian yang berbeza.